KUALA LUMPUR, 17 Feb. – Penasihat Undang-undang UMNO, Datuk Hafarizam Harun menyelar tindakan keluarga setiausaha politik Exco Selangor, mendiang Teoh Beng Hock dan peguam-peguam yang mewakili mereka kerana menarik diri daripada prosiding suruhanjaya untuk menyiasat kematiannya semalam.
Katanya, penarikan diri oleh Peguam Karpal Singh bersama dengan peguam-peguam yang lain adalah satu taktik lapuk mereka dalam usaha untuk memanjangkan tempoh prosiding tersebut.
“Ia adalah satu keputusan yang sungguh tidak beretika atas tujuan agar tempoh prosiding suruhanjaya terbabit dapat dipanjangkan kerana ia diberi masa selama tiga bulan untuk rumusan pendapat berkaitan kes kematian mendiang Teoh,” katanya kepada UMNO-Online.
“Ia adalah satu keputusan yang sungguh tidak beretika atas tujuan agar tempoh prosiding suruhanjaya terbabit dapat dipanjangkan kerana ia diberi masa selama tiga bulan untuk rumusan pendapat berkaitan kes kematian mendiang Teoh,”
Semalam, Karpal, peguam Gobind Singh Deo dan semua ahli keluarga Beng Hock bertindak demikian selepas permohonannya untuk menyingkirkan pengerusi suruhanjaya itu, Tan Sri James Foong Cheng Yuen yang merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan ditolak oleh panel-panel yang bersidang.
“Saya melihat pelantikan Hakim Tan Sri James yang dibuat oleh Yang Dipertuan Agung biarpun beliau adalah Hakim Mahkamah Persekutuan adalah atas budi bicara Baginda, justeru apa-apa tindakan yang dibuat bertentangan dengan keputusan tersebut adalah bersifat mencabar Yang Dipertuan Agung seolah-olah Baginda turun ke kancah politik,” katanya.
Dalam hal ini, Hafarizam melihat wujud persamaan ketara dengan prosiding perbicaraan kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sehinggakan memakan masa bertahun-tahun.
“Tujuan mereka hanyalah untuk melengah-lengahkan perbicaraan agar institusi kehakiman dan dalam kes Teoh Beng Hock ini membabitkan institusi Yang Dipertuan Agung agar hilang kredibilitinya.
“Inilah cubaan pembangkang untuk mempolitikkan institusi Yang Dipertuan Agung dan badan kehakiman negara.”
Jelasnya lagi, perbuatan tersebut ternyata hanya akan merugikan keluarga mendiang Teoh Beng Hock kerana semakin banyak permohonan dibuat maka semakin lamalah keputusan berkaitan suruhanjaya tersebut akan diketahui.
“Pada pandangan saya, adalah lebih baik sekiranya perbicaraan diteruskan tanpa pelbagai kerenah yang tidak berkaitan kerana semua pihak ingin tahu kebenarannya,” jelasnya.
Sebelum itu, satu lagi permohonan yang dibuat oleh Karpal, telah ditolak iaitu supaya diberikan lanjutan masa dalam permohonan semakan kehakimannya yang difailkan berhubung keputusan suruhanjaya menolak permohonannya untuk menggugurkan tiga pegawai dari Jabatan Peguam Negara yang dilantik sebagai pegawai pengendali suruhanjaya itu.
Tiga pegawai itu ialah Timbalan Ketua Bahagian Guaman I, Amarjeet Singh dan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Awang Amardajaya Awang Mahmud dan Kwan Li Sa.
Selain James, suruhanjaya juga dianggotai oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T. Selventhiranathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr. Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik/Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya, Profesor Dr. Mohamed Hatta Shaharom.
Anggota yang lain iaitu Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Saripuddin Kasim yang dilantik sebagai Setiausaha Suruhanjaya. - MediaUMNO
Read more!
Thursday, February 17, 2011
Subscribe to:
Posts (Atom)