Tuesday, October 6, 2009

Paparan Iklan Barisan Nasional di N. 31 Bagan Pinang - adakah ianya melanggar undang-undang pilihanraya?



Salam Sejahtera,

Saya baru sahaja pulang daripada Port Dickson (DUN N. 31 Bagan Pinang) petang tadi. Sewaktu saya di sana, saya telah melihat banyak paparan iklan Barisan Nasional yang telah diletak di tepi jalan-jalan utama DUN Bagan Pinang. Paparan iklan itu antara lainnya menyatakan tentang manipulasi PAS terhadap kanak-kanak di bawah umur (bukan pengundi), janji-janji yang tidak ditepati dan juga politik 'tolak pembangunan' PAS.

Selanjutnya, saya juga sempat melihat paparan iklan PAS yang diletak di persimpangan jalan (berdekatan dengan PD Marina Resort) antara lainnya menyatakan bahawa BN gagal penuhi janji pengundi Rembau semasa PRU-12 dsb.

Sewaktu mengikuti Berita Awani jam 9.00 malam tadi, saya amat tertarik kepada 'amaran' Pengarah Pilihanraya Dewan Pemuda PAS, Saudara Mohd Firdaus Jaafar yang memberi amaran kepada jentera BN agar menurunkan segala paparan iklan yang mengikut beliau berunsur 'fitnah' dan menyalahi undang-undang dalam masa 24 jam ataupun mereka akan menurunkannya (self-help).

Saya ingin mengulas pertama mengenai paparan iklan BN ataupun PAS dan kedua mengenai 'amaran' menurunkan dalam 24 jam ataupun akan diturunkan (self-help). Saya telah menyelidik undang-undang termaktub berkenaan kesalahan pilihanraya iaitu Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 ("Akta tersebut"). Seksyen-seksyen yang relevan adalah Seksyen 9 dan 24B Akta tersebut. Seksyen 9 Akta tersebut tidak ada menyatakan, secara tersurat mahupun tersirat, bahawa ianya adalah suatu kesalahan pilihanraya jika paparan iklan yang bermaksud sebagaimana saya telah katakan tadi sebagai 'pengaruh tidak wajar'. Ini kerana Seksyen 9 Akta tersebut hanya berkata mengenai kekerasan, keganasan atau halangan, atau yang mengenakan atau mengancam hendak mengenakan, dengan sendiri atau melalui mana-mana orang lain, apa-apa bencana, kecacatan, kerosakan, atau kerugian keduniaan atau kerohanian. Apa yang dikatakan oleh paparan iklan BN hanyalah fakta sebenar atau paling kurang, adalah propaganda politik yang dibolehkan mengikut lunas undang-undang pilihanraya.

Seterusnya, Seksyen 24B Akta tersebut pula menetapkan bahawa apa-apa perjumpaan terbuka, perhimpunan awam terbuka, pertunjukan awam terbuka atau hiburan awam terbuka, ucapan awam terbuka atau syarahan awam terbuka mestilah mempunyai permit daripada Ketua Polis Daerah (KPD). Tiada apa-apa berkenaan paparan iklan yang mesti mendapat permit KPD.

Saya berpendapat bahawa Seksyen yang relevan, jikalaupun hendak dijadikan sebagai asas rujukan Pasukan Petugas - Kempen Pilihanraya (PP-KPR), dalam mengarahkan penurunan paparan iklan BN hanyalah Seksyen 27E (b) Akta tersebut. Namun begitu, jika dilihat seksyen tersbeut, ianya spesifik kepada bahan-bahan kempen yang tidak mematuhi mana-mana undang-undang bertulis yang berhubungan dengan pilihan raya (justeru itu hanya Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 yang terpakai, Akta-akta lain seperti Akta Hasutan dsb adalah tidak terpakai). Sebagai contoh, jika dilihat kepada Seksyen 11 (1) (c) Akta tersebut, ianya hanya berkata tentang mencetak, menerbitkan, mengedarkan atau menampalkan atau menyebabkan supaya dicetak, diterbitkan, diedarkan atau ditampalkan apa-apa iklan, surat sebaran, pelekat atau poster yang berkenaan dengan mana-mana pilihan raya dan yang tidak mengandungi pada mukanya nama dan alamat pencetak dan penerbitnya. Jika dirujuk lagi, Seksyen 11 (1) (d) Akta tersebut, hanya menyatakan membuat atau menerbitkan apa-apa pernyataan palsu mengenai fakta berhubung dengan watak atau kelakuan peribadi calon itu sebelum atau semasa mana-mana pilihan raya bagi maksud menpengaruhi supaya mana-mana calon dipilih.

Oleh itu, paparan iklan BN tidak menyalahi mana-mana undang-undang berkenaan pilihanraya dan sepatutnya dikekalkan selagi ianya tidak melanggar seksyen-seksyen yang telah saya nyatakan diatas.

Berkenaan amaran Saudara Mohd Firdaus untuk menurunkan sendiri paparan iklan BN dalam masa 24 jam (jika tidak diturunkan oleh petugas BN), saya berpendapat ianya bersifat retorik politik sahaja tanpa asas undang-undang yang kukuh. Saya juga ingin menasihatkan agar beliau lebih berhati-hati aapabila bermain sentimen seperti ini kerana ianya boleh mencetus ketegangan dsb. Adalah lebih baik beliau fokus kepada isu-isu pembangunan setempat DUN Bagan Pinang yang ternyata kurang sekali disentuh oleh PAS di dalam pilihanraya kecil ini.

Sekian, terima kasih.

[Salam Sejahtera & selamat tengahari,

Hari ini (7/10/2009) YBM Tengku Datuk Seri Adnan Tengku Mansor, Setiausaha Agung UMNO Malaysia telah membawa ke perhatian saya Seksyen 4A (1) Akta Kesalahan Pilihanraya 1964. Mengikut YBM Tengku Datuk Seri, seksyen tersebut telah menjadi dasar laporan polis yang dibuat oleh PAS terhadap BN.

Saya telah meneliti dan berpendapat Seksyen tersebut mungkin tidak tepat pemakaiannya oleh PP-KPR dalam menurunkan paparan iklan BN/PAS kerana seksyen itu lebih kepada pernyataan dengan tujuan atau dengan kecenderungan untuk mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati atau permusuhan anatar orang yang terdiri daripada kaum yang sama atau kaum yang berlainan atau daripada golongan yang sama atau golongan yang berlainan penduduk Malaysia untuk mendorong mana-mana pemilih atau pengundi supaya mengundi atau tidak mengundi. Jika disabitkan kesalahan itu, ianya boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan dan didenda kedua-duanya.

Apa-apa pun keputusan telah dibuat oleh PP-KPR dan ianya perlu dihormati. Yang pentingnya, PAS sekarang sedar bahawa PP-KPR (atau SPR) tidaklah 'bias' ataupun menjadi 'alat' BN kerana paparan iklan BN juga telah diturunkan.

Sekian, terima kasih]

6 comments:

  1. Kenapa UMNO pilih Isa??

    Aku kecewa apabila UMNO memilih Isa, sebahagian keluarga aku menaruh harapan yang tinggi terhadap UMNO, hancur berkecai.

    UMNO tidak pernah belajar dari kesilapan memilih calon yang imej tercemar bermula di Permatang Pasir melarat ke Bagan Pinang.UMNO tidak memperdulikan lagi imej calon asal kemenangan memihak kepadanya.

    Walau pun Tun Mahathir dan Tengku Razaleigh tidak mahu UMNO memilih Isa sebagai calon. Tapi nasihat veteran UMNO ini ditolak mentah dengan alasan kehendak rakyat memilih Isa.

    Ujud juga budaya kuno mengugut dari ahli-ahli UMNO sendiri untuk memboikot PRK jika Isa tidak dipilih. Budaya Melayu yang menjejekkan. Begini corak pemikiran Melayu yang dihasilkan oleh UMNO setelah lebih 52 tahun memerintah, setia membabi buta.

    Kekalahan demi kekalahan menjadikan UMNO terdesak untuk menang.

    Pemilihan Isa sebagai calon BN menunjukkan UMNO secara tidak langsung mengiktirafkan politik wang. Walaupun kehendak rakyat menolak politik wang, UMNO lebih mementingkan kemenangan. Jika Isa benar-benar mementingkan masa depan UMNO, dia sepatutnya menolak pencalonan tersebut. Isa lebih mementingkan diri sendiri.


    Pemilihan Isa sebagai calon BN menunjukkkan sikap kepimpinan DS Najib dan TS Muhyiddin yang lemah dan tidak berani membawa perubahan kepada UMNO. Mereka lebih takut kepada desakan dan kekalahan BN dari masa depan UMNO. Beginikah kepimpinan yang diperlukan untuk memimpin Malaysia?


    Demi masa depan UMNO , saya tidak dapat menerima Isa Samad sebagai calon BN di Bagan Pinang.

    Dan saya berharap UMNO dapat dikalahkan lagi di Bagan Pinang supaya UMNO benar-benar dapat menghayati makna perjuangan parti.

    ReplyDelete
  2. Saudara Mudz,

    Terima kasih atas komen membina Saudara.

    Bagi maksud keterbukaan & ketelusan, saya telah mempamirkan komen Saudara untuk tatapan pembaca-pembaca blog saya.

    Nasihat saya, UMNO lebih besar daripada mana-mana individu Saudara. Kekalkan kepercayaan kepada UMNO.

    Salam Perjuangan.

    ReplyDelete
  3. Salam tuan, Mudz adalah spammer, komen yg sama dhantar ke banyak blog yg pro Umno.

    ReplyDelete
  4. PAS KAFIRKAN UMNO KERANA PERINTAH MALAYSIA DENGAN PARTI BUKAN ISLAM
    Sejak tahun 1964 PAS telah menyatakan UMNO kafir kerana berkongsi kuasa memerintah Negara ini dengan para pemimpin bukan Islam seperti MCA & MIC kerana PAS menyifatkan perkongsian kuasa yang dilakukan oleh UMNO bercanggah dengan ajaran Islam.

    Tetapi sebaliknya bila PAS hendak menyertai PR, TG Hadi Awang berfatwa pula dalam bukunya yang bertajuk “AMANAT HAJI HADI – PENGHURAIAN DAN PENJELASAN” di mukasurat 8 & 17 menyatakan bahawa HARUS bekerjasama dengan dengan orang bukan Islam. Sewaktu PAS menyertai Kerajaan Campuran dengan UMNO/BN di tahun 1973-1977, TG Nik Aziz dalam bukunya yang bertajuk “SIKAP SAYA” terbitan 15 Disember 1977 di mukasurat 3 memetik fatwa Dewan Ulamak PAS Pusat bahawa “Kerajaan Campuran adalah HARUS dan diTARJIH oleh Kongres”

    Dengan itu jelas sekali PAS memang mempermainkan Hukum Allah dan berfatwa mengikut kepentingan politik dan bukannya kepentingan Islam. Sebab itu hukum-hakam dalam PAS boleh berubah mengikut isu dan kepentingan politik, sehingga PR menjadi HALAL WAJIB disokong, sementara UMNO/BN menjadi HARAM dan WAJIB ditentang. Surah al-An’am ayat 57 Surah an-Nisa’ ayat 46.

    http://www.youtube.com/watch?v=PRzYG9vJXAQ

    http://www.youtube.com/watch?v=D8Dw3Pv1Lbc

    http://www.youtube.com/watch?v=LtRlJNbS_Ec

    ReplyDelete
  5. Mudz, adalah sesumpah jgn terperangkap dengan mainan mamat ni, Memang betul kata USTAZSAID.

    ReplyDelete
  6. tepat sekali..mudz bukan saja sesumpah..tapi sampah yang banyak berterabur kat tepi pantai Port Dickson tu.

    ReplyDelete