Tuesday, November 8, 2011

Majlis Peguam Dibidas, ‘Seksualiti Merdeka 2011’ Langgar Undang-undang

Penganjuran Seksualiti Merdeka 2011 adalah bertentangan dengan undang-undang sebagaimana Polis Di Raja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas mengharamkan segala bentuk aktiviti dan promosi program yang berunsurkan seks bebas.

Penasihat Undang-undang UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun menegaskan bahawa PDRM juga sewajarnya mengambil perintah larangan individu-individu daripada hadir di perkarangan tempat yang akan diadakan.

“Apa jua ketidakpatuhan adalah suatu kesalahan jenayah atau menghina perintah mahkamah dan patut dikenakan hukuman sebagaimana demonstrasi Bersih” katanya dalam kenyataan eksklusif kepada UMNO-Online.

Berkaitan dengan demonstrasi Bersih 2.0, pihak berkuasa telah mengeluarkan perintah larangan berada di lokasi panas sekitar ibu kota pada 9 Julai bagi mencegah perhimpunan haram yang dikeluarkan Mahkamah Majistret mengikut Seksyen 98 Kanun Acara Jenayah.



Dilaporkan program itu kononnya berteraskan perjuangan hak asasi, menuntut hak dan kebebasan golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual untuk mengamalkan gaya hidup pilihan mereka secara sah dan terbuka.

“Perbezaan antara Malaysia dibandingkan dengan India, Singapura dan Britain yang sudah menghapuskan Seksyen 377A (sodomi) ialah ketiga-tiga negara itu tiada agama rasmi walhal Malaysia, Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan, jelas menyatakan bahawa Islam adalah agama rasmi Persekutuan.

“Maka secara langsung bahawa Seksualiti Merdeka yang dibuat oleh mereka ini Ini sudah tentunya bercanggah dengan ajaran Islam berkenaan seks bebas atau sejenis,” tegasnya.

Dalam perkembangan tersebut, beliau turut membidas Majlis Peguam (Bar Council) yang menjadi antara pengunjur dalam program berkenaan.

“Majlis Peguam mengikut asas dan tujuan penubuhannya di bawah Akta Profesion Undang-undang 1979 telah lari daripada tujuannya. Jelas Seksyen 42 kepada Akta tersebut tiada menyatakan tentang promosi ‘free sexualiti, homoseksualiti dan sebagainya’ sebagai salah satu tujuan Majlis Peguam (Bar Council).

“Untuk Majlis Peguam menggunakan petikan YAB Perdana Menteri bahawa Malaysia adalah ‘negara liberal dan progresif’ justeru itu, ‘Merdeka Seksualiti’ boleh diadakan adalah memutar-belit fakta dan undang-undang.”

Tegasnya lagi, Timbalan Presiden Majlis Peguam Christopher Leong bahawa tiada peruntukkan undang-undang berkenaan homoseksualiti adalah salah, mengelirukan dan tersasar.

“Mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan, seks luar tabii adalah kesalahan jenayah. Hubungan homoseksual tidak akan berhenti di situ sahaja, ianya mesti akan berlanjutan ke hubungan intim.

“Percubaan lemah Christopher Leong untuk bezakan hubungan homoseksual dengan hubungan homoseksual ‘intim’ ternyata cetek dan menunjukkan kelemahan minda memahami isu sebenarnya,” bidasnya lagi. - MediaUMNO

No comments:

Post a Comment