Sunday, November 15, 2009

Kes DUN Kota Siputih, Kedah (Permohonan Semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur No. R4-25-304-2009)

Salam Sejahtera,

Semalam Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur (Bahagian Rayuan & Kuasa-kuasa Khas) telah memutuskan bahawa kerusi DUN N.3 Kota Siputih kosong (vacant) dan mengarahkan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) mengeluarkan Writ Pilihanraya bagi diadakan pilihanraya kecil dalam masa enam puluh hari daripada tarikh semalam. Hari ini semua akhbar-akhbar telah menceritakan apa yang berlaku semalam dan asas-asas keputusan Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi, Dato Alizatul Khair Mohd Osman. Untuk itu, izinkan saya berikan sedikit latarbelakang kes ini untuk manfaat pembaca-pembaca blog saya. Oleh kerana perkara ini masih di dalam pertimbangan Mahkamah (iaitu permohonan untuk penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi Jumaat ini bersamaan 20/11/2009) saya tidak akan komen mengenai kesahihan keputusan tersebut dsb atas alasan ianya sub judice.

Ini adalah permohonan YB Dato' Dr Abdul Isa Ismail, Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah bagi semakan kehakiman (judicial review) terhadap keputusan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) bertarikh 1/9/2009 yang membuat keputusan (established) bahawa kerusi DUN N. 3 Kota Siputih tidak kosong (vacant) atas sebab-sebab berikut; (1) Ketidakhadiran YB Dato Abu Hassan Sarif di dalam sidang dewan DUN Kedah (iaitu 19/4/2009 & 9/8/2009) bukanlah dua mesyuarat berturut-turut (consecutive meetings); (2) Beliau mempunyai sebab/alasan yang sah iaitu cuti sakit untuk dua hari iaitu 9/8/2009 hingga 10/8/2009; dan (3) Apajua berkenaan hak & kebebasan ADUN hendaklah dirujuk terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Hak & Kebebasan sebelum apajua keputusan dibuat terhadap kerusi DUN Kota Siputih itu.

Di dalam penghujahan pihak-pihak, ada beberapa isu berbangkit yang ingin saya kongsi bersama di dalam blog ini. Antaranya, ialah Artikel 51 Perlembagaan Kedah yang berbunyi: "Jika mana-mana ahli bagi Dewan Negeri tiada hadir di dalam Dewan dengan tiada kebenaran Speaker di dalam dua kali mesyuarat berturut-turut maka tempatnya itu hendaklah menjadi kosong" akan beroperasi (terpakai) pabila ketiga-tiga pra-syarat iaitu (1) tidak hadir; (2) dua kali mesyuarat berturut-turut; dan (3) tanpa kebenaran Speaker telah dipenuhi. Kedua, ialah interpretasi Artikel 53(5) Perlembagaan Negeri Kedah yang berbunyi: "Sesuatu kekosongan luar jangka hendaklah diisi dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh dipastikan oleh Suruhanjaya Piliham Raya bahawa ada kekosongan" dan dibaca bersama dengan kes Jamaluddin Mohd Radzi & 2 yang lain lwn Sivakumar a/l Varatharaju [2009] 4 CLJ 593 yang menyatakan, dengan izin, "Moreover, under s 12(3) of the Elections Act 1958, the Election Commission would have to establish that a vacancy exists before issuing a writ of by-election...The Speaker cannot therefore interfere with constitutional duty of the Election Commission to establish whether there is casual vacancy" hanyalah untuk situasi perletakan jawatan (resignation) dan bukannya situasi ketidakhadiran mesyuarat sidang Dewan. Ketiga, intrepretasi 'mesyuarat'; 'persidangan' seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Kedah, secara ringkasnya, 'mesyuarat' maknanya mana-mana mesyuarat atau mesyuarat-mesyuarat bagi Dewan Negeri mulai ketika mula-mula diadakan mesyuarat Dewan lepas telah dipanggil pada mana-mana masa dan tamat manakala ditangguhkan Dewan itu dengan tiada tentu masa atau ketika tamat persidangan dengan tiada ditangguhkan; 'persidangan' maknanya mesyuarat Dewan Negeri mulai ketika mula-mula diadakan mesyuarat Dewan selepas ditubuhkan atau selepas direntikannya atau dimansuhkannya pada mana-mana masa dan tamat ketika direntikan Dewan atau dimansuhkan dengan tiada direntikan. Berdasarkan kepada intrepretasi diatas, adakah kedua-dua mesyuarat (iaitu Mesyuarat Kelima Penggal Pertama pada 19/4/2009 dan Mesyuarat Kedua Penggal Ledua pada 10/8/2009) dikira sebagai berturut-turut. Akhir sekali, bolehkah writ 'quo warranto' dikeluarkan terhadap seorang ADUN (dibandingkan dengan kes Nizar lwn Zambry, ianya melibatkan jawatan 'Menteri Besar').

Untuk makluman, YA Hakim Dato' Alizatul telah membuat keputusan bahawa Artikel 51 Perlembagaan Kedah hendaklah dibaca secara berasingan dan berlainan dengan Artikel 53(5) Perlembagaan Kedah iaitu, jika terbukti seseorang ADUN tidak hadir mesyuarat dua kali berturut-turut, kerusinya hendaklah menjadi kosong. Justeru itu, keputusan SPR pada 1/9/2009 (bahawasanya tiada kekosongan) adalah tidak munasabah (irrational) apabila menyatakan bahawa mesyuarat pada 19/4/2009 & 10/8/2009 adalah dua mesyuarat yang tidak berturut-turut kerana ianya di dalam penggal persidangan yang berbeza. Juga, YA Hakim berpuashati, oleh kerana tiada bukti-bukti di hadapannya, sidang Dewan Undangan Negeri Kedah tidak pernah direntikan (prorogued) selaras dengan Artikel 53(2) yang berbunyi: "Berkuasalah Raja Pemerintah boleh merentikan atau memansuhkan Dewan Negeri." Justeru itu, persidangan di Dewan Undangan Negeri Kedah adalah persidangan yang sama dan ianya dinamakan sebegitu (persidangan penggal pertama & persidangan penggal kedua) hanyalah untuk 'expediency' semata-mata. Walaubagaimanapun, YA Hakim bersetuju bahawa writ 'quo warranto' tidak boleh dikeluarkan terhadap Dato Abu Hassan Sarif kerana beliau tidak memegang jawatan awam (public office) tetapi hanya kerusi (seat).

Pihak SPR difahamkan akan memfailkan suatu penangguhan terhadap keputusan YA Hakim terutamanya, terhadap perintah mandamus bahawa writ pilihanraya hendaklah dikeluarkan oleh SPR mengikut Seksyen 12(3) Akta Pilihanraya, 1958 dalam tempoh tidak kurang daripada empat hari dan tidak lebih sepuluh hari daripada semalam. Pihak saya juga akan menyokong permohonan penangguhan tersebut. Ianya akan didengar pada Jumaat (20/11/2009) di Mahkamah Tinggi yang sama.

Sekian, terima kasih.

5 comments:

  1. Congratulation Bro!

    Keep on we always back you up, k

    ReplyDelete
  2. Thank you Bro.

    I need all the best wishes that I can have.

    ReplyDelete
  3. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  4. It is sad to see this happening, our MPs should be more careful and be remindful of their actions both to the DUN and the people. Personally, I felt that Dato Abu Hassan should not have let himself fall due to a technicality like this.
    Let this be a lesson to all our MPs.

    ReplyDelete
  5. salam....jom ke blog saya
    vote
    http://amizo78.blogspot.com/

    ReplyDelete