Wednesday, November 25, 2009

Kes Kota Siputeh - lanjutan daripada perintah Mahkamah Rayuan pada 24/11/2009

Salam Sejahtera,

Beberapa hari yang lepas (termasuk minggu lepas) banyak telah dilaporkan di dalam akhbar-akhbar utama, media eletronik and media alternatif berkenaan kes Kota Siputeh berlanjutan daripada keputusan YA Dato' Alizatul, Hakim Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur. Oleh itu, bagi menerangkan perspektif sebenar apa yang telah berlaku dan diputuskan baru-baru ini di kedua-dua Mahkamah Tinggi dan Rayuan, saya ingin mengulas disini.

Sebagai latarbelakang, ianya telah diputuskan pada hari Isnin (23/11/2009) yang lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa permohonan penggantungan pelaksanaan oleh pihak Responden Kedua (SPR) dan disokong oleh Responden Pertama (Dato Abu Hassan Sarif) ditolak atas alasan ketiadaan fakta-fakta istimewa (special circumstances). Antara fakta-fakta yang dikatakan tiada keistimewaan (oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur) ialah; (1) Kos menjalankan pilihanraya kecil yang dianggarkan (minima) sebanyak RM205,000.00 bukanlah fakta istimewa kerana adalah menjadi tugas SPR untuk menjalankan pilihanraya sebaik sahaja adanya 'kekosongan luar biasa'; (2) Writ Pilihanraya, sebaik sahaja dikeluarkan, tidak boleh dibatalkan (countermand) juga bukanlah suatu keadaan istimewa untuk penggantungan pelaksanaan; (3) Kemungkinan adanya 2 ADUN menuntut kerusi DUN N.3 Kota Siputeh (jika Rayuan Dato' Abu Hassan berjaya kelak) juga bukannya suatu keadaan istimewa; dan (4) Harapan sah (legitimate expectation) pengundi-pengundi (samada yang telah mengundi Dato Abu Hassan ataupun Calon lain, jika berlakunya pilihanraya kecil) akan terkilan atau terjejas bukan juga merupakan fakta istimewa.

Mahkamah Rayuan, sewaktu sidangnya pada 24/11/2009, telah mendapati adanya fakta-fakta istimewa untuk menggantung perintah 'mandamus' (arahan kehakiman) agar SPR mengeluarkan Writ Pilihanraya atas alasan-alasan seperti diatas i.e. akan menjimatkan wang rakyat sementara menunggu keputusan muktahir rayuan di Mahkamah Rayuan, mengelakkan tuntutan bertindih (competing claims) oleh ADUN N. 3 kota Siputeh, jika Writ dikeluarkan maka pilihanraya mesti diteruskan walau apa keputusan rayuan nanti & memelihara harapan sah (legitmate expectation) yang telah mengundi Dato' Abu Hassan di pilihanraya umum yang lalu.

Ada beberapa pertanyaan dibuat kepada saya mengapa Dato Abu Hassan tidak memohon penggantungan pelaksanaan terhadap beliau seperti yang telah diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi pada 16/11/2009. Untuk makluman pembaca blog saya, perintah yang diberikan terhadap Dato Abu Hassan adalah perintah berbentuk deklarasi iaitu (1) deklarasi bahawa Dato Abu Hassan bukan lagi merupakan ADUN N.3 Kota Siputeh & (2) deklarsai bahawa kerusi N. 3 Kota Siputeh adalah kosong. Undang-undang jelas bahawa mana-mana perintah deklarasi yang diberikan, efeknya adalah menyelesaikan kedudukan pihak-pihak didalamnya. Di dalam buku Declaratory Orders, PW Young mukasurat 216 para 2408, menyatakan bahawa "The effect of a declaratory order is almost universally that the court merely authoritatively indicates that a certain interpretation has always been the true interpretation of an act or document, or alternatively, that an administrative decision etc has alwats been void." Juga, di dalam kes Bunnings Forest Products Pty Ltd v Bullen and Others [1994] 126 ALR 660, ianya telah diputuskan bahawa "once a declaration has been made, the order has done its work and the legal rights or obligations of the parties the subject of the declarations are, subject to appeal, settled". Walaupun begitu, di dalam kes PV Das v Registrar of Societies (Datuk M Kayveas - Intervener) [2003] 3 MLJ 449, Mahkamah Rayuan Malaysia telah menggantung perintah deklarasi yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi pada 18/9/1999.

Justeri itu, keputusan tidak memohon penggantungan di Mahkamah Tinggi bagi pihak Dato Abu Hassan oleh saya adalah 'judgment call' yang saya terpaksa buat melihat daripada kedudukan undang-undang semasa. Ini mungkin dilihat sebagai mengkompromi kedudukan anakguam saya tetapi isunya disini bukannya saya tidak merayu ke Mahkamah Rayuan, sebaliknya adalah suatu permohonan penggantungan pelaksanaan sahaja. Apapun, Mahkamah Rayuan telah membenrakan penggantungan pelaksanaan oleh pihak SPR daripada mengeluarkan Writ Pilihanraya selewat-lewatnya pada 25/11/2009 sementara menunggu pelupusan rayuan anakguam saya dan juga SPR. Disini, kewibawaan rayuan (integrity of appeal) anakguam saya telah dipelihara.

Setakat sekarang, pihak-pihak sedang menunggu penghakiman bertulis YA Hakim Mahkamah Tinggi sewaktu beliau memberikan penghakiman lisan pada 16/11/2009. Hanya dengan penghakiman tersebut diberikan kepada pihak-pihak, barulah dapat dikaji sedalam-dalamnya implikasi, impak dan kesan perintah dan keputusan terhadap anakguam saya & SPR.

Sekian, terima kasih.

2 comments:

  1. Bukankah perkara asasnya ialah apabila seorang ADUN tidak menghadiri sidang DUN dua kali secara berturut-turut tanpa alasan yang kukuh, kerusi ADUN tersebut boleh dikosongkan oleh Tuan Speaker?

    ReplyDelete
  2. SPR sudah mnunjukkan badan itu mnyebelahi krajaan dgn mnangguh PRK dun kota seputih.inilah strategi krjaan utk mngkaji sblum d mngumum PRK dun kota sputih

    ReplyDelete