Wednesday, December 30, 2009

Sekilas Pandang 2009 & Sekalung Harapan 2010

Salam Sejahtera,

Sempena tahun baru 2010 yang akan datang dalam masa beberapa jam lagi, saya ingin mengambil kesempatan untuk menulis sepatah dua pengalaman saya sepanjang tahun 2009 mengendalikan kes-kes perundangan melibatkan UMNO/BN sepanjang tahun 2009.
Pembuka kata, bulan-bulan Februari, Mac & April 2009 merupakan titik perubahan pandangan saya terhadap karier saya selaku Penasihat Undang-Undang UMNO, iaitu ianya telah mengubah pendirian saya untuk lebih ke hadapan menghadapi serangan politik bertopengkan isu perundangan, walaupun itu bukannya tugasan hakiki saya selaku Penasihat Undang-Undang UMNO. Krisis Perlembagaan Perak yang dicetuskan oleh pakatan pembangkang melalui tindakan YB Sivakumar mengisytiharkan kerusi-kerusi DUN Changkat Jering, Behrang & Jelapang kosong disamping menggantung YAB Menetri Besar Perak & 6 EXCOnya 18 bulan & 12 bulan masing-masing. Krisis ini telah menyaksikan persaingan sengit (hingga hampir melanggari etika profesionalisma kepeguaman) antara pasukan undang-undang UMNO/BN Perak yang dipimpin oleh saya dibawah tunjukajar Kaunsel saya, Encik Firoz Hussein dengan pasukan undang-undang pakatan pembangkang. Apapun, ianya suatu pengalaman manis dan pahit yang saya lalui. Ianya telah mengajar saya erti persahabatan, pengorbanan & bekerja satu pasukan. Untuk itu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada rakan-rakan saya (nama-nama mereka di tepian blog saya ini) akan dedikasi, komitmen dan kesungguhan dalam menangani segala serangan perundangan yang dilemparkan oleh pakatan pembangkang.
7hb Mei 2009, pada hemat saya, adalah kemuncak Krisis Perlembagaan Perak apabila berlakunya serangan (berbentuk fizikal, kata & emosi) oleh ADUN-ADUN pakatan pembangkang Perak terhadap ADUN-ADUN BN yang dipimpin oleh YAB Menteri Besar Perak Dato' Sri di Dewan Undangan Negeri Perak yang sepatutnya dihormati. Disitu, segala yang tidak disangka atau dijangka telah berlaku sehinggalah YB Sivakumar dikeluarkan daripada kerusi Speaker yang beliau duduki daripada bermulanya sesi sidang Dewan pada waktu pagi. Hanya setelah YB Dato' Ganesan menduduki kerusi Speaker & seterusnya menjemput DYTM Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin untuk menitahkan perutusan DiRaja Baginda, barulah keadaan menjadi teratur semula. Pengajaran utama yang saya perolehi daripada episod diatas terutamanya selaku Penasihat Undang-Undang UMNO ialah apabila suatu keputusan telah dicapai, biarpun apajua pandangan berbeza orang-orang lain yang bukan di dalam proses membuat keputusan tersebut, ianya hendaklah dilaksanakan (execute) walaupun berbentuk luarbiasa (unprecedented) & mungkin salah. Disini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan saya (nama-nama mereka seperti di tepian blog saya) kerana telah menyokong saya, berdiri dibelakang saya (walaupun wujud perselisihan faham tetapi setelah keputusan dibuat, menerimanya) & membantu saya bagi memastikan sidang Dewan 7hb Mei 2009 berjalan lancar dari segi perundangan.
Diantara bulan-bulan Mei, Jun, Julai & Ogos 2009, kes YB Dato' Seri Nizar lwn YAB Dato' Seri Zambry dimana Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11hb Mei telah mengisytiharkan YB Dato' Seri Nizar selaku Menteri Besar telah mengejutkan seluruh negara apatah ianya telah berlaku pada Hari ulangtahun penubuhan UMNO. Namun, seperti pepatah Melayu berkata 'setiap yang buruk pasti ada baiknya', UMNO/BN telah berjaya mendapatkan semula jawatan Menteri Besar Perak keesokkan harinya pabila Mahkamah Rayuan telah menggantung pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi sementara menunggu rayuan. Akhirnya, pada 26hb Jun 2009, keputusan Mahkamah Tinggi telah diketepikan oleh Mahkamah Rayuan. Hanya tinggal sekarang hanyalah keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap rayuan YB Dato' Seri Nizar berkenaan keputusan Mahkamah Rayuan itu. Bulan Ogos 2009, saya telah mengikuti rombongan Kerajaan Negeri Perak ke negara-negara Timur Tengah bertemu pelajar-pelajar Perak dan dikesempatan itu, saya telah menerangkan apa sebenarnya berlaku di Perak.
Bulan September 2009, suatu lagi cabaran terhadap karier saya telah berlaku. Kes UMNO disaman sebanyak RM218 juta kononnya telah memesan, menggunakan & meraih manfaat daripada barangan pilihanraya yang dibekalkan oleh Elegant Advisory Sdn Bhd telah menjadi suatu lagi bahan mulut. Akhirnya, pada 10hb September, Mahkamah Tinggi (Bahagian Dagang Baru) telah mengenepikan saman tersebut. Dengan keputusan ini, terbukti UMNO tidak pernah berbelanja besar mahupun melanggar peruntukkan undang-undang pilihanraya.
Bulan Oktober 2009 adalah bulan bersejarah bagi UMNO apabila pindaan perlembagaan UMNO , iaitu untuk menghapuskan kuota pencalonan, sistem pemilihan & lain-lain perkara bersangkutan dengannya telah diterima sebulat-suara oleh perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO Tahunan. Ini adalah pemangkin (catalyst) seterusnya terhadap usaha YAB Dato' Sri Najib Tun Razak bagi memulihkan kembali imej UMNO di kaca mata rakyat.
Bulan November 2009 menyaksikan kes DUN Kota Siputih kembali mendapat perhatian rakyat/media. Tarikh 16hb November adalah tarikh yang sungguh memeritkan karier saya apabila Mahkamah Tinggi telah mengiystiharkan kerusi DUN Kota Siputih kosong disebabkan ketidakhadiran tanpa kebenaran Speaker DUN Kedah. Namun, pada 20hb November, Mahkamah Rayuan telah membenarkan permohonan penangguhan SPR daripada diadakan pilihanraya kecil (disokong oleh saya selaku selaku peguam bekas ADUN Kota Siputih) sehingga rayuan SPR & anakguam saya didengar dan diputuskan. Pengajaran yang saya perolehi daripada ini ialah, bukan semua kes yang pada zahirnya kukuh boleh dipertahankan di Mahkamah. Juga, tugasan hakiki ADUN/Ahli Parlimen ialah untuk hadir sidang DUN/Parlimen kecuali dengan sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan (seperti mana saranan YAB Timbalan Perdana Menteri agar kes Kota Siputih dijadikan pengajaran kepada semua ADUN/Ahli Parlimen BN) dan dibenarkan oleh Speaker/Tuan Yang DiPertua.
Bulan Disember, seperti tahun-tahun lalu, agak sunyi tetapi untuk saya, suatu lagi kes melibatkan BN telah mendapat perhatian media. Ianya berkenaan kes BN disaman oleh Pentas Permata untuk kerugian disebabkan oleh alegasi penamatan salah oleh BN. Kes ini akan disebut semula awal Januari 2010 sebelum ianya ditetapkan untuk perbicaraan.
Harapan saya untuk tahun 2010 ialah UMNO akan bertambah kuat, perjuangannya diterima oleh rakyat terutamanya dengan slogan 1Malaysia iaitu Rakyat didahulukan - Pencapaian diutamakan & berkurangnya kes-kes UMNO disaman di Mahkamah oleh individu/syarikat yang bermotifkan politik & remeh (frivilous). Insya-Allah, dengan sokongan pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO (termasuk Ibu Pejabat), saya akan menjalankan tugasan saya dengan lebih dedikasi & komitmen.
Untuk pembaca-pembaca blog saya, pemberi-pemberi komen & pelayar-pelayar alam maya, saya ucapkan ribuan terima kasih atas segala sokongan, dorongan, komen (samada membina atau tidak) di dalam blog saya ini. Seperti saya telah katakan, blog saya ini adalah untuk pembacaan ilmiah & juga luahan pandangan perundangan saya terhadap isu-isu yang berbangkit.
SELAMAT TAHUN BARU 2010! Salam 1Malaysia!
Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment