Thursday, June 30, 2011

Ambiga Jatuhkan Imej Peguam, Subahat Lakukan Jenayah

Penasihat Undang-undang UMNO, Datuk Hafarizam Harun membidas tindakan Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih Dan Adil (Bersih) Datuk Ambiga Sreenevasan kerana tidak mengikut saluran undang-undang untuk melakukan perhimpunan sedangkan sebagai pengamal perundangan beliau arif tentangnya.

Katanya, walau apapun alasan Ambiga mengenai merit atau alasan himpunan Bersih sama ada untuk pilihan raya adil dan sebagainya, tetapi persoalannya bukanlah perkara itu.

“Adakah Ambiga telah memperolehi kebenaran untuk mengadakan himpunan seperti diperlukan di bawah Akta Polis? Jawapannya, tiada malahan tiada permohonan apa-apa yang dibuatnya sehingga sekarang,” katanya kepada Umno-Online.

Terang beliau lagi, Ambiga, selaku bekas Presiden Majlis Peguam sudah tentunya tahu akibat ketiadaan permit untuk perhimpunan iaitu himpunan haram.


“Jadi dalam hal ini, beliau selaku seorang peguam telah bersubahat untuk melakukan kesalahan atau melakukan satu perbuatan jenayah,” tegasnya.

Jelas Hafarizam lagi, sebagai seorang peguam, Ambiga sepatutnya menggunakan forum-forum lain seperti menghantar memorandum kepada Yang DiPertuang Agung, Perdana Menteri atau saluran lain dan bukannya melalui demonstrasi jalanan.

“Apa yang jelas, tindakan beliau ini telah menjatuhkan imej peguam-peguam sebagai pedukung keluhuran undang-undang dalam negara,” katanya lagi.

Dilaporkan Ambiga adalah kekas Presiden Majlis Peguam yang bertanggungjawab menerima memorandum menuntut pelaksanaan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) pada 21 Ogos 2001 selain menerima memorandum untuk menuntut pelaksanaan 14 tuntutan IFC yang jelas sekali bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Pada 9 Ogos 2008 beliau turut mengadakan forum mengenai memeluk agama Islam yang membincangkan dan mempertikaikan secara terbuka Perkara 121 (1A). Biarpun mendapat bantahan daripada orang Islam, namun Majlis Peguam yang diterajui oleh Ambiga tetap meneruskan forum tersebut.

Selain itu, dalam kes Lina Joy yang murtad, Ambiga telah mempertikaikan pelaksanaan hukum syariah di bawah Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan dengan menyatakan kebebasan beragama turut termaktub kepada semua penganut agama Islam.

No comments:

Post a Comment