Monday, April 21, 2014

PKR Kesal Dan Akui Felda Tidak Pernah Jual Minyak Mentah Kepada Israel


KUALA LUMPUR, 21 April – Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini menyatakan rasa kesal dan mengakui serta menerima bahawa Felda tidak pernah menghantar minyak atau menjalankan sebarang perniagaan dengan negara Israel atau mana-mana syarikat milik Israel, sebaliknya urusniaga penghantaran minyak mentah tersebut dilakukan dengan negara Palestin.
Penasihat Undang-Undang UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Felda berkata, ini berikutan penghakiman persetujuan antara plaintif Felda dan defendan iaitu Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution, yang membawa persetujuan yang mana terma-termanya membawa kepada pengakuan kesal PKR, mengakui dan menerima bahawa Felda tidak pernah menghantar minyak mentah kepada Israel sebaliknya ia dihantar kepada Palestin.
“PKR telah menyatakan rasa kesal dengan dua artikel yang ditulis dan dicetak itu yang merujuk kepada Felda. PKR juga mengakui dan menerima bahawa  Felda IFFCO Oil Product Sdn Bhd telah pada Mac 2010 mengantar minyak mentah ke Palestin dan bukan Israel serta mengakui bahawa Felda tidak pernah menjual minyak mentah kepada Israel atau mana-mana syarikat milik Israel.
“Untuk makluman, pada tahun 2012 akhbar milik PKR, Suara Keadilan telah mencetak dan menerbitkan dua artikel yang bertajuk Dua Ribu  Himpun Bantah Felda Jual Minyak Ke Israel dan BN Jangan Tipu Rakyat pada edisi Suara Keadilan bertarikh 27 November yang menuduh Felda menjual minyak mentah kepada Israel.
“PKR juga telah menarik balik segala imputasi yang telah dibuat dan akan dibuat oleh artikel berhubung perkara tersebut yang telah diterbitkan di dalam Suara Keadilan pada 27 November 2012 yang lalu,” jelas beliau kepada UMNO-Online ketika di temui di Mahkamah Jalan Duta di sini hari ini.
Menurut beliau lagi, penghakiman persetujuan ini juga telah direkodkan tanpa apa-apa pengecualian terhadap liabiliti atau kebertanggungjawaban oleh PKR dalam mengeluarkan kenyataan sepertimana yang dikeluarkan di dalam akhbar milik PKR, Suara Keadilan.
Tambahnya, ini adalah selaras sepertimana penjelasan yang diberikan oleh Datuk Ahmad Maslan yang ketika itu merupakan Menteri yang bertanggungjawab menjaga Felda, di mana Felda menghantar minyak mentah untuk kegunaan masyarakat di Palestin dan bukannya Israel sepertimana yang dituduh oleh Suara Keadilan.
“Dengan adanya penghakiman persetujuan hari ini maka ia jelas membuktikan bahawa  segala tuduhan terhadap Felda berhubung penjualan minyak kepada Israel hanyalah semata-mata fitnah yang dilakukan pembangkang dan akhbar-akhbar milik pembangkang,” tegasnya.
Sementara itu menurut  beliau, berhubung saman malu Felda terhadap enam defendan lagi iaitu Mazlan Aliman, Datuk Mustapha Ali, Ahmad Lutfi Osman, Taufik Yahya, Mohamad Arif Atan, Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd, yang mana keenam-enam defendan ini merupakan ahli Pas dan juga pemegang jawatan di dalam parti Pas, penerbit kepada akhbar Harakah,ketua pengarang dan juga pencetak akan tetap diteruskan oleh Felda.
“Dan hakim hari ini juga telah menetapkan tarikh 30 April ini sebagai hari keputusan berhubung saman malu Felda terhadap keenam-enam defendan tersebut.
“Bagimanapun setakat ini Pas dan Harakah masih lagi senyap membisu seribu bahasa dan kita ternyata-tanya apakah kedudukan dan keputusan yang akan mereka ambil disebabkan keputusan penghakiman hari ini, di mana rakan sekutunya PKR telah menyatakan rasa kesal serta mengakui bahawa Felda tidak pernah menjalankan sebarang urus niaga dengan negara Israel atau mana-mana syarikat milik negara tersebut,” akhiri beliau. -MediaUMNO

No comments:

Post a Comment