Thursday, March 20, 2014

Wan Ahmad Menang Saman Terhadap Mat Sabu Dan Mustafa Isu ‘Projek IC’

KUALA LUMPUR, 20 Mac – Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan Setiausaha Agungnya Datuk Mustafa Ali membayar ganti rugi berjumlah RM200,000 kepada Datuk Wan Ahmad Wan Omar kerana memfitnah bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu berhubung isu ‘Projek IC’ di Sabah.
PTJ05_110513_SPR
Pesuruhjaya Kehakiman Lee Heng Cheong ketika membenarkan saman Wan Ahmad, memutuskan bahawa plaintif berjaya membuktikan kesnya terhadap Mohamad atau Mat Sabu dan Mustafa selaku defendan.
Mahkamah juga memerintahkan kedua-dua defendan itu membayar kos berjumlah RM50,000 kepada Wan Ahmad.
Bagaimanapun, mahkamah menolak tuntutan Wan Ahmad terhadap pencetak akhbar Harakah, Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd, Ketua Pengarang akhbar itu Ahmad Lutfi Othman dan penulis artikel Aziz Muda.
Lee berkata mahkamah mendapati plaintif gagal membuktikan Angkatan Edaran Enterprise adalah pencetak akhbar Harakah, Ahmad Lutfi sebagai ketua pengarang dan Aziz sebagai penulis artikel berkenaan.
Mahkamah turut memerintahkan Wan Ahmad membayar kos berjumlah RM20,000 kepada ketiga-tiga defendan itu.
Pada 5 Mac tahun lepas, Wan Ahmad memfailkan saman dengan mendakwa Mohamad mengeluarkan kata-kata fitnah dalam artikel bertajuk ‘Wan Ahmad Tak Boleh Dipercayai’ dan ‘Ragu Peranan SPR – Wan Ahmad Omar Mesti Letak Jawatan’ dalam Harakah edisi Jumaat 1-3 Feb 2013 selepas ditemu ramah pada 29 Jan 2013.
Dalam penyataan tuntutannya, Wan Ahmad mendakwa defendan mengeluarkan perkataan fitnah bahawa beliau tidak boleh dipercayai kononnya kerana terbabit dengan pengeluaran kad pengenalan biru dalam ‘Projek IC’ di Sabah.
Sementara itu, Wan Ahmad yang hadir dalam prosiding hari ini melahirkan rasa gembira atas keputusan mahkamah yang berpihak kepadanya.
“Dengan keputusan itu, saya bersyukur dan gembira kerana ia telah membersihkan nama saya, maruah diri dan menamatkan beban malu diri saya dan keluarga akibat kenyataan fitnah itu,” katanya sambil menambah bahawa kewibawaan SPR juga turut tercalar akibat fitnah itu.
Beliau juga berharap keputusan yang diberikan oleh mahkamah hari ini akan menjadi pengajaran dan teladan kepada sesiapa sahaja supaya lebih berhati-hati apabila bercakap dan mengeluarkan kenyataan yang melibatkan peribadi dan maruah pihak lain.
“…saya perhatikan sesetengah daripada mereka (pemimpin politik) begitu mudah dan gemar mengeluarkan kenyataan yang tidak berasas dan berunsur fitnah terhadap pihak lain,” kata Wan Ahmad.
Wan Ahmad hadir bersama peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun dan peguam Nor Hazira Abu Haiyan.
Kesemua defendan yang tidak hadir dalam prosiding hari ini diwakili peguam Azhana Mohd Khairuddin.

LAPORAN: 

DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KUALA LUMPUR
DALAM WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR
(BAHAGIAN SIVIL)
GUAMAN NO.: 23NCVC-29-03/2013

ANTARA

DATUK WIRA WAN AHMAD BIN WAN OMAR                                       …PLAINTIF
(No. K/P : 471128-11-5079)

DAN
1.     HAJI MOHAMAD BIN SABU

2.     DATO’ MUSTAFA ALI
      (disaman sebagai pemegang jawatan Parti Islam Semalaysia (PAS)      seperti yang diperuntukkan dalam seksyen 9(c) Akta Pertubuhan 1966   dan juga pemegang permit akhbar “Harakah”)

3.     AHMAD LUTFI OTHMAN

4.     ANGKATAN EDARAN ENT. SDN. BHD
(No. Syarikat 249409-U)

5.     AZIZ BIN MUDA                                                                                               …DEFENDAN-DEFENDAN


LATAR BELAKANG FAKTA KES/ PROSIDING DI MAHKAMAH:



1.                 Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar (bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia) telah memfailkan Writ dan Pernyataan Tuntutan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kepada Mohamad Sabu, PAS melalui Dato’ Mustafa Ali selaku Setiausaha Agung, Ahmad Lutfi Othaman sebagai Ketua Pengarang Akhbar Harakah , Angkatan Edaran Ent. Sdn. Bhd. sebagai Pencetak Akhbar Harakah dan Aziz Muda sebagai Penulis pada 5/3/2013 ekoran daripada kenyataan yang berunsur fitnah (slander) yang telah dibuat oleh Mohamad Sabu ketika dihubungi oleh Harakah pada 29/1/2013 yang mana ianya telah dilaporkan, dicetak dan diterbitkan (libel) di dalam artikel bertajuk “Wan Ahmad Tak Boleh Dipercayai” di dalam Harakah edisi 1-3 Februari 2013 di muka surat terakhir dan di muka surat N30 Akhbar Tersebut.

2.                 Kata-kata fitnah yang diucapkan oleh Mohamad Sabu (“Kata-kata Fitnah Tersebut”) terhadap Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar telah diterbitkan semula di dalam Artikel tersebut dengan cara yang berikut:

(a)               WAN AHMAD TAK BOLEH DIPERCAYAI.

            Sekali lagi PAS mendesak Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan                 Raya (SPR), Dato’ Wan Ahmad Wan Omar meletakkan jawatannya   segera bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap SPR kerana beliau         seorang pemimpin yang tidak lagi boleh dipercayai kerana terbabit               dengan pengeluaran kad pengenalan biru dalam “Projek IC” di Sabah     seperti didedahkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), tegas Mohamad          Sabu.

(b)               RAGU PERANAN SPR- WAN AHMAD OMAR MESTI LETAK JAWATAN.

KUALA LUMPUR: PAS mendesak Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dato’ Wan Ahmad Wan Omar meletakkan jawatannya dengan segera bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap SPR kerana beliau seorang pemimpin yang tidak boleh dipercayai.
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, tindakan yang dilakukan oleh Wan Ahmad serta Mahathir dan beberapa individu lain itu merupakan satu kesalahan besar, malah jelas mengkhianati negara.

Tegasnya, Wan Ahmad tidak layak terus menerajui SPR kerana tindakannya itu jelas bercanggah dengan peranan sebenar SPR yang sepatutnya menjadi badan bebas bagi mengendalikan pilihan raya di negara ini.

Menurut Mohamad Sabu, penglibatan Wan Ahmad dan Mahathir dalam kerja jahat itu ternyata bertentangan dengan undang-undang semata-mata bagi memenangkan BN di negeri Sabah dalam pilihan raya.

“Wan Ahmad juga turut terlibat dalam kes itu kerana Wan Ahmad ketika itu adalah Pengerusi SPR Sabah. Jadi, kita minta Wan Ahmad letak jawatannya sekarang sebagai Timbalan Pengerusi SPR kerana beliau jelas tidak boleh dipercayai,” katanya.

3.                 Akibat daripada kenyataan berunsur fitnah yang telah dikeluarkan dengan niat jahat (malice), maka, ianya telah menjatuhkan maruah, reputasi dan imej Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar serta kredibiliti beliau selaku Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mempunyai imej awam yang baik samada di dalam negara mahupun Antarabangsa.

4.                 Kenyataan yang dikeluarkan adalah jelas tidak benar sama sekali dan merupakan satu kenyataan fitnah yang serius yang merujuk kepada Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar secara terus dan khusus melalui nama penuh dan jawatan beliau.

5.                 Kesemua Defendan di dalam Pernyataan Pembelaan telah menggunapakai pembelaan Perlindungan Bersyarat (Qualified Privilege)  yang mana isu yang diperkatakan adalah melibatkan kepentingan awam yang dibuat secara bona fide tentang isu Perbicaraan Suruhanjaya Di Raja, perjalan pilihan raya di Negara dan isu urus tadbir SPR.

6.                 Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar mendakwa bahawa gantirugi keterlaluan dan/ atau gantirugi teladan harus diberikan atas dasar-dasar seperti berikut:

a)             Defendan Pertama sudah sedia maklum dan berniat agar Kata-kata Fitnah Tersebut akan dilaporkan dan diterbitkan di dalam Akhbar Tersebut dan akan diedarkan secara menyeluruh ;
b)             Defendan Pertama dengan sengaja menerbitkan Kata-Kata Fitnah Tersebut dengan mengetahui bahawa ianya adalah tidak benar dan/ atau tanpa mempedulikan kebenarannya ;
c)             Sifat serius dan skandal pencemaran nama baik Plaintif telah menyebabkan kerosakan yang hebat dan dahsyat di mana ia telah meninggalkan kesan dan kerugian yang mendalam kepada reputasi Plaintif, secara khususnnya tetapi tidak terhad kepada hubungan dengan rakyat di dalam negara ini dan juga hubungan Plaintif dengan pihak-pihak lain di peringkat antarabangsa ; dan
d)             Defendan Pertama dengan sengaja bertujuan untuk menghancurkan kepercayaan dan keyakinan rakyat negara ini ke atas Plaintif selaku Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi meneruskan agenda tersendiri Defendan Pertama.

7.             Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar sebagai Plaintif telah menuntut daripada Defendan-defendan seperti berikut:

a)             Gantirugi am dan khas sepertimana yang akan ditaksirkan oleh Mahkamah yang Mulia ini;
b)             Gantirugi teruk (aggravated damages) sepertimana yang akan ditaksirkan oleh Mahkamah yang Mulia ini;
c)             Gantirugi keterlaluan dan/ atau teladan sepertimana yang akan ditaksirkan oleh Mahkamah yang Mulia ini;
d)             Faedah ke atas (a), (b) dan (c) atas kadar 5% setahun daripada tarikh Writ ini sehingga penyelesaian penuh;
e)             Satu arahan injunksi untuk menahan Defendan Pertama dan oleh dirinya sendiri, pembantu-pembantunya atau ejen-ejennya atau sebaliknya daripada berbicara lebih lanjut atau menerbitkan atau menyebabkan penerbitan kata-kata Fitnah tersebut atau seakan-akan dengannya terhadap pihak Plaintif, baik secara lisan atau di media cetak atau di Internet;
f)              Perintah bahawa Defendan-defendan menerbitkan permintaan maaf secara bertulis untuk diterbitkan di surat khabar dan majalah untuk dikenalpasti oleh Plaintif dalam bentuk dan dalam istilah yang akan ditetapkan oleh Plaintif ;
g)             Kos tindakan ini; dan
h)             Lain-lain perintah sepertimana yang dianggap suai manfaat oleh Mahkamah yang Mulia ini.

PROSIDING PERBICARAAN DI MAHKAMAH:

8.                 Prosiding Perbicaraan telah didengar di hadapan Y.A Hakim Lee Heng Cheong, Hakim Mahkamah Tinggi NCVC 7, Kuala Lumpur pada 21 & 22/11/2013.

9.             Sebelum Perbicaraan dimulakan, Peguamcara Defendan-defendan, YB Mohamed Hanipa Maidin telah membuat bantahan awal  berkenaan dengan isu locus standi seperti berikut:

a)             Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar yang merupakan seorang Penjawat Awam tidak boleh menyaman dalam kausa tindakan fitnah kerana jawatan yang dipegang adalah sentiasa tertakluk kepada penelitian awam dan mewujudkan kesan yang menakutkan kepada hak kebebasan bersuara Defendan-defendan; dan
b)             Samada Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak boleh mewakili Plaintif yang merupakan seorang Penjawat Awam di dalam kes fitnah di Mahkamah.   

10.           Peguamcara Plaintif, Datuk Mohd. Hafarizam Bin Harun telah memanggil saksi-saksi untuk memberi keterangan serta mengemukakan bukti-bukti bagi pihak Plaintif berdasarkan fakta-fakta berikut:

a)             Plaintif pada masa material tidak berada di dalam negara tetapi berada di Washington D.C yang ketika itu berkhidmat di Kedutaan Malaysia di sana bermula dari tahun 1989 sehingga 1994 ;
b)             Plaintif memulakan karier di dalam Suruhanjaya Pilihan Raya pada tahun 1998 sebagai Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga tahun 2004 ;
c)             Plaintif kemudiannya dilantik melalui lantikan Yang di-Pertuan Agong sebagai Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada tahun 2005 hingga sekarang ;
d)             Plaintif tidak pernah sama sekali menyandang jawatan sebagai Pengarah SPR Sabah dan/ atau sebarang jawatan di Sabah  sepanjang perkhidmatannya di dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ;
e)             Kelakuan Defendan-defendan yang mengeluarkan dan/ atau melaporkan dan/ atau mencetak dan/ atau menerbitkan serta terus menerbitkan Artikel Tersebut yang mengandungi Kata-Kata Fitnah Tersebut yang secara jelasnya memfitnah Plaintif mencadangkan bahawa Defendan-defendan mempunyai motif dan berniat jahat (malice) dan/ atau perasaan tidak puas hati terhadap Plaintif ;
f)              Artikel Tersebut diterbitkan di dalam Akhbar Tersebut dalam cara yang penuh sensasi dan berniat jahat (malice) untuk menjatuhkan reputasi dan nama baik Plaintif yang merupakan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ;
g)             Defendan-defendan mengetahui dan/ atau pastinya mengetahui bahawa pengataan yang dibentangkan dalam adalah tidak benar dan fitnah semata-mata; dan
h)             Walaupun Defendan-defendan telah diberikan Notis Tuntutan agar tidak menerbitkan apa jua kenyataan berkaitan isu atau subjek yang sama, Defendan-defendan walau bagaimanapun telah di dalam Akhbar Harakah Edisi Jumaat Bil. 1820 11-13 Rabiul Akhir 1434/ 22-24 Februari 2013  di ruangan Fokus muka surat F13 menerbitkan lagi kenyataan yang sama atau seakan-akan sama dengannya terhadap Plaintif.

11.               Mohamad Sabu ketika disoal balas oleh Peguamcara Plaintif telah mengakui bahawa beliau ada mengeluarkan Kata-kata Fitnah Tersebut ketika dihubungi oleh Akhbar Harakah yang mana kata-kata tersebut sememangnya diakui merujuk kepada Plaintif. Mohamad Sabu juga ketika disoal balas tidak dapat mengesahkan serta tidak pasti bahawa Plaintif terlibat di dalam Projek IC di Sabah dan hanya mengetahui berkenaan dengan Projek IC dan Siasatan Diraja melalui akhbar sahaja serta tidak pernah melihat laporan penuh berkenaan perkara tersebut.

12.               Mohamad Sabu juga bersetuju ketika disoal balas bahawa beliau tidak pernah membuat siasatan lanjut samada daripada Plaintif atau sumber-sumber lain berkenaan dengan kesahihan fakta penglibatan Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar tetapi Artikel Tersebut telah ditulis kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan SPR.

KEPUTUSAN MAHKAMAH:

13.               Kes telah ditetapkan untuk keputusan pada 20/3/2014 di hadapan Y.A Hakim Lee Heng Cheong berdasarkan kepada pliding, dokumen-dokumen yang dieksibitkan, keterangan saksi-saksi dan fakta kes, Mahkamah memutuskan seperti berikut:

a)             Bantahan awal oleh Defendan-defendan tidak bermerit yang menyatakan bahawa Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak tidak mempunyai locus standi untuk mewakili Plaintif memandangkan bahawa Plaintif bukanlah seorang Penjawat Awam yang perlu mendapatkan kebenaran (fiat);

b)             Plaintif gagal untuk membuktikan kes terhadap Defendan Ketiga, Keempat dan Kelima, maka, tuntutan terhadap Defendan Ketiga hingga Kelima dibatalkan dengan kos RM 20, 000.00; dan

c)             Plaintif berjaya membuktikan kes terhadap Defendan Pertama dan Kedua dan Mahkamah membenarkan tuntutan Plaintif terhadap Defendan Pertama dan Kedua dengan Gantirugi Am sebanyak RM 200, 000.00 dan kos sebanyak RM 50, 000.00.



No comments:

Post a Comment