Friday, September 11, 2015

Najib Dan Isteri Mohon Kes Saman Fitnah Diputuskan Melalui Isu Perundangan

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri memohon supaya kes saman fitnah difailkan terhadap anggota Parlimen Taiping Nga Kor Ming diputuskan melalui isu perundangan iaitu tanpa perbicaraan penuh.

Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor memfailkan saman itu terhadap Nga yang didakwa memuat naik gambar berunsur fitnah mengenai mereka dalam akaun Facebook anggota Parlimen DAP itu pada Mac lepas. 

Peguam Choo Shi Jin, mewakili Najib dan isteri memberitahu pemberita bahawa anak guamnya memfailkan permohonan itu semalam dan tiada tarikh ditetapkan untuk mendengar permohonan pasangan itu.

Beliau berkata demikian ketika kes itu disebut di dalam kamar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Siti Khadijah S. Hassan Badjenid. Peguam Dennis Goh hadir mewakili Nga.  
 
Choo berkata mahkamah juga menetapkan 16 hingga 19 Mei tahun depan untuk perbicaraan dan disambung pada 23 hingga 26 Mei 2016, sekiranya kes saman itu akan diputuskan melalui perbicaraan.
Dalam prosiding sivil, sekiranya permohonan untuk melupuskan kes saman
melalui isu perundangan ditolak, mahkamah akan memutuskan kes itu melalui perbicaraan penuh iaitu dengan memanggil saksi-saksi untuk memberi keterangan.

Mahkamah juga menetapkan 23 Okt ini untuk pengurusan kes.

Pada 11 Jun lepas, Najib, atas kapasiti peribadinya dan Rosmah memfailkan
saman itu terhadap Nga selepas mendakwa defendan memuat naik gambar Najib dan
Rosmah berserta status dalam akaun Facebook atas nama Nga Kor Ming, pada 29 Mac lepas.

Pasangan itu mendakwa dalam status bergambar itu terpampang gambar mereka bersama dengan beberapa orang menteri kabinet Malaysia dan pegawai tertinggi Wisma Putra di dalam sebuah bilik hotel di China.

Mereka mendakwa Nga telah menerbitkan perkataan-perkataan fitnah dalam akaun Facebooknya dengan memuat naik status menfitnah yang boleh diakses secara bebas oleh pengguna internet di seluruh dunia.

Najib mendakwa perkataan-perkataan fitnah itu antara lain membawa maksud
bahawa beliau telah menyalah guna kuasa dan mandat sebagai perdana menteri untuk kepentingan sendiri atau kepentingan isterinya dengan membenarkan Rosmah mencampuri urusan dan hal ehwal kerajaan.

Rosmah pula mendakwa perkataan perkataan fitnah itu membawa maksud bahawa beliau adalah seorang yang mementingkan diri sendiri kerana mempengaruhi suaminya selaku perdana menteri dan telah menyalah guna kuasa selain mempunyai kepentingan dalam sistem pentadbiran negara.

Pasangan itu berkata walaupun defendan telah mengambil tindakan untuk membuang status bergambar itu, namun status bergambar itu masih tersebar dengan meluas di dua buah blog yang masih boleh diakses di seluruh dunia dan mempunyai 'page view' masing-masing seramai 25,360,055 dan 6,626,986 sehingga tarikh writ saman tersebut difailkan.

Oleh itu, mereka menuntut ganti rugi am, ganti rugi tambahan dan teladan, faedah, kos dan lain-lain perintah yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment