Thursday, October 1, 2015

Mahkamah Tinggi Benar Tangguh Prosiding Tuntutan Saman Terhadap Presiden, Setiausaha Kerja UMNO

KUALA LUMPUR, 1 Okt –  Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini telah membenarkan permohonan penangguhan segala prosiding berhubung tuntutan yang difailkan oleh  Anina Saadudin terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Setiausaha Kerja UMNO Malaysia, Datuk Ab Rauf Yusoh.
Menurut peguam Datuk Hafarizam Harun yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Ab Rauf Yusoh, alasan penangguhan prosiding ialah kerana terdapatnya keadaan istimewa di mana sekiranya tidak ditangguhkan prosiding itu boleh memberikan kesan kepada permohonan Datuk Seri Najib dan Datuk Ab Rauf Jusoh untuk mengenepikan kes yang difailkan oleh wanita tersebut.

“Maka dengan keputusan mahkamah hari ini, Datuk Seri Najib dan Datuk Abd Rauf Yusoh tidak perlu memfailkan apa jua pembelaan dan afidavit-afidavit bagi menentang permohonan yang telah difailkan oleh Ainina dalam kes tersebut.
“Kes ini akan disebut semula pada 6 Oktober ini untuk menetapkan tarikh pendengaran permohonan Datuk Seri Najib selaku presiden UMNO dan Datuk Ab Rauf Yusoh sebagai penjawat awam bagi mengenepikan kes tuntutan Ainina terhadap kedua-dua pihak,” jelasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.
Tambah beliau, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Ab Rauf Yusoh tidak perlu hadir pada 6 Oktober ini iaitu tarikh sebutan kes dan juga pada tarikh pendengaran permohonan pengenepian tuntuan ini.
“Pada dua tarikh tersebut Datuk Seri Najib dan Datuk Ab Rauf Yusoh tidak perlu hadir sehinggalah sekiranya mahkamah tidak membenarkan permohonan untuk membuangkan kes ini dan kes ini diletakkan di dalam perbicaraan, barulah Datuk Seri Najib dan Datuk Ab Rauf Yusoh perlu hadir.
“Jadi secara ringkasnya, kita telah berjaya melarang atau menahan Datuk Seri Najib daripada memfailkan apa saja pembelaan samada mengaku atau tidak mengaku dan sebagainya, sehinggalah permohonan beliau untuk membuang kes ini didengar dan diputuskan,”ujarnya.
Ogos lalu, seorang ahli UMNO Bahagian Langkawi, Kedah, Ainina Saadudin memfailkan saman terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung derma RM2.6 bilion dalam akaun peribadi beliau.
Ainina Saadudin memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebentar tadi melalui Tetuan Haniff Khatri turut menamakan Setiausaha Kerja Umno, Datuk Ab Rauf Yusoh sebagai defendan kedua.
Melalui penyata tuntutannya, Ainina mendakwa Najib sebagai pemegang amanah konstruktif Umno telah melanggar Perlembagaan Umno dan peruntukan-peruntukan Akta Pertubuhan 196.
Ainina turut mendakwa, Perdana Menteri telah bertindak pecah amanah dan melanggar kepercayaan yang diletakkan kepada beliau sebagai pemegang amanah konstruktif UMNO.- MediaUMNO

No comments:

Post a Comment