Monday, June 22, 2009

Kes YB Sivakumar a/l Varatharaju Naidu lwn YB Dato' Ganesan a/l Retanam - kenapa perlu sekuriti untuk kos?

Salam Sejahtera,

Minggu lepas, sebaik sahaja selesai sebutan untuk kes diatas, pada keesokan harinya, saya terbaca di dalam salah satu akhbar bahawa YB Dato' Ganesan telah mengarahkan kami selaku peguamcaranya untuk memfailkan suatu permohonan untuk sekuriti untuk kos terhadap YB Sivakumar. Saya sahkan arahan tersebut dan kami telahpun memfailkannya. Cuma menunggu pengekstrakan permohonan bermeterai daripada pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi Ipoh sahaja.

Justeru itu, saya ingin mengulas sedikit berkenaan permohonan ini kerana nampaknya isu ini telah dimanipulasikan oleh pakatan pembangkang bahawa tindakan ini adalah salah, tidak berpatutan dsb.

1. Pertama sekali, permohonan untuk sekuriti untuk kos adalah suatu yang lazim di kalangan pengamal undang-undang. Saya sendiri telah memohon dan berjaya mendapat perintah untuk sekuriti untuk kos sebelum ini di dalam kes-kes lain yang pernah saya kendalikan. Justeru itu, tidak timbul ianya adalah sesuatu yang luarbiasa! Aturan 23 Kaedah 1 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi, 1980 (aturan prosedur Mahkamah yang digunapakai oleh semua pengamal undang-undang) jelas maksudnya.

2. Kedua, ianya adalah untuk menghalang litigan yang 'vexatious' daripada terus menyalahguna proses Mahkamah i.e. memfailkan tindakan Mahkamah sewenang-wenangnya atau mengikut kehendak/keperluan dan kemudiannya menarik-balik tanpa sebab. Ini pernah dilakukan oleh YB Sivakumar, pada 5hb Februari 2009, tatkala kerajaan pakatan pembangkang jatuh disebabkan tiga (3) ADUN menjadi bebas. YB Sivakumar telah memfailkan tindakan Mahkamah No. 24-146-2009 terhadap ketiga-tiga ADUN bebas namun, dengan sedar dan penuh muslihat telah menarik-balik atau memberhentikan tindakan tersebut pada 4hb Mac 2009. Jelas daripada kelakuan YB Sivakumar diatas tidak mustahil beliau akan melakukannya sekali lagi. Untuk memastikan beliau betul-betul serius, maka permohonan sekuriti untuk kos telah difailkan.
3. Ketiga, tindakan baru yang dibawa oleh YB Sivakumar ini adalah salah satu lagi 'tindakan politik murahan' untuk mendapat simpati rakyat bahawa beliau tetap Yang DiPertua (YDP) Dewan Negeri Perak. Mungkin tidak keterlaluan, jika saya katakan bahawa beliau (ataupun peguam-peguamnya) di dalam situasi grandeur delusion sedangkan fakta dan juga sejarah telah menyatakan bahawa selepas 7hb Mei 2009, setelah usul penggantian YDP Dewan Negeri telah secara sahnya diluluskan di sidang Dewan Negeri Perak secara suara majoriti (31-28). Tambahan lagi, ada surat daripada Setiausaha Dewan Negeri yang mengesahkan status YB Dato' Ganesan selaku YDP Dewan Negeri yang baru selepas 7hb Mei 2009. Maka, selepas 7hb Mei 2009, YB Sivakumar hanyalah YB Tronoh sahaja!
Untuk makluman pembaca blog saya, kes ini telah ditetapkan untuk pendengaran di hadapan YA Dato' Azahar Mohamad di Mahkamah Tinggi Ipoh (No 3) pada 17hb Julai 2009. Untuk makluman lanjut juga, terdapat tiga (3) permohonan yang akan didengar pada harik tersebut iaitu (a) Permohonan Injunksi YB Sivakumar, untuk menghalang YB Dato' Ganesan daripada menghalang YB Sivakumar daripada menjalankan tugasnya sebagai YDP Dewan! (satu lagi contoh grandeur delusion pihak pakatan pembangkang yang tidak sudah-sudah); (b) Permohonan Sekuriti untuk Kos oleh pihak YB Dato' Ganesan; dan (c) Permohonan untuk mengenepikan Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan YB Sivakumar terhadap YB Dato' Ganesan yang difailkan oleh pihak kami, selaku peguamcara YB Dato' Ganesan.
Sekian sahaja untuk waktu ini. Terima kasih.

2 comments:

  1. tahniah dato. kalau tak ada penerangan ni, kami loyar buruk ni nak mengulas dalam blog pun susah . itu yang senyap kami tu. tq. tulisan dalm bahasa melayu ybhg dato amat baik. tulisan ini saya nak pinjam ke blog saya. tq

    ReplyDelete
  2. Ketua Pemuda Gerakan ketinggalan zaman, kata MB Kedah
    ALOR SETAR, Jun 25 — Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak menyifatkan Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang ketinggalan zaman apabila terus mengajak orang menyertai BN.

    "Semua sekarang nak tinggalkan Umno dan BN untuk menyertai PAS dan Pakatan Rakyat. Tiba-tiba dia pula ajak masuk BN, pelik sungguh," kata Azizan kepada media dalam satu majlis di Gurun hari ini.

    Azizan mengulas gesaan Tan yang meminta DAP dan PKR menyertai BN bagi membentuk kerajaan baru di Kedah dengan meninggalkan PAS.

    Ini kerana, kata Tan, kerajaan Kedah dibawah pimpinan PAS sekarang meminggirkan orang bukan Melayu di Kedah.

    Menurut Azizan, Tan ketinggalan dalam banyak hal termasuk isu kouta 50 peratus untuk orang Melayu apabila tanah rezab Melayu diambil untuk projek perumahan di bandar Alor Setar.

    Tan juga, kata Azizan, ketinggalan dalam isu pusat penyembelihan babi di Mergong.

    Sebelum ini, Azizan berkata, yang tidak adil adalah kerajaan BN sebelum ini yang telah meluluskan tanah rezab Melayu untuk projek perumahan tetapi menetapkan hanya 20 peratus sahaja kouta untuk orang Melayu.

    "Ini tanah rezab Melayu, bukan tanah pegangan bebas. Untuk tanah pegangan bebas, mana ada syarat itu," katanya.

    Dalam isu pusat penyembelihan babi di Mergong pula, pusat yang terletak di Pasar Mergong ini, walaupun telah bergerak selama lebih 30 tahun, namun ia tidak pernah mempunyai lesen yang sah dari pihak berkuasa tempatan.

    Aktivitinya pula mendapat bantahan orang Melayu yang turut ke pasar ini kerana bahan-bahan buangannya dibuang dalam tong sampah yang sama dengan penggunaan lain dan sebahagiannya dialirkan ke sungai berdekatan.

    Ekoran bantahan itu, Majlis Bandaraya Alor Setar telah mengarahkan pusat penyembelihan ini dipindahkan ke tempat lain.

    Ekoran itu, persatuan peniaga babi ini telah membuat rayuan kepada Menteri Besar Kedah untuk memberikan tempoh kepada mereka sebulan untuk mendapatkan tempat baru.

    "Menteri Besar telah menulis surat kepada Datuk Bandar Alor Setar agar rayuan mereka ini diterima. Jika selepas sebulan mereka tidak dapat kawasan baru, itu masalah mereka kerana mereka yang meminta tempoh sebulan," kata Setiausaha Akhbar MB Kedah, Helmi Khalid yang dihubungi hari ini.

    Menurut Helmi, satu kawasan baru telah dikenalpasti untuk dijadikan tempat penyembelihan babi ini iaitu di satu kawasan dalam Kampung Cina Pendang.

    "Pejabat MB telah bersetuju dengan tapak baru ini jika mendapat kelulusan khasnya dari Jabatan Veterinar. Surat juga telah dihantar kepada Yang Dipertua Majlis Daerah Pendang agar permohonan ini diluluskan jika mendapat sokongan dari jabatan-jabatan berkaitan," beritahu Helmi.

    Sementara itu, hubungan antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat di Kedah sangat baik, kata anggota Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar.

    "Oleh itu, saya yakin pancingan Tan itu tidak akan dimakan oleh sahabat-sahabat saya dalam PKR atau DAP. Orang sekarang nak tinggal BN dan nak masuk Pakatan," kata beliau.

    Tentang isu-isu yang dibangkitkan, Firdaus yakin ia akan adapat diselesaikan dengan baik Oleh MB Kedah.

    "Sabarlah, isu babi ini sensitif dan tidak siapa mahu babi diternak atau disembelih di sebelah rumah mereka sekarang dengan wabak selsema babi ini. Jadi kena bersabarlah supaya kawasan yang dijadikan kawasan ternak dan sembelih itu nanti benar-benar sesuai," katanya.
    Dipetik dari Malaysia Insider

    ReplyDelete