Saturday, July 25, 2009

"Saman" untuk hadir "Mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan' terhadap YB Dato' Ganesan a/l Retanam - Bilakah semua ini akan berakhir

Salam sejahtera,

Saya memohon maaf kerana tidak berupaya untuk menulis di dalam blog saya beberapa hari yang lepas oleh kerana kesibukan kerja guaman saya dan lain-lain hal yang berkaitan dengannya. Apapun, saya berterima kasih kerana pembaca blog saya masih tetap melayari blog saya jikalau ada 'posting' terbaru.

Berikut adalah sedikit ulasan saya berkenaan "Saman" untuk hadir pada 27hb Julai 2009 jam 10.00 pagi di "Kamar Yang Di-Pertua Dewan Undangan atau lain tempat yang dipastikan oleh Yang Di-Pertua" kononnya bagi maksud "Mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan" berkenaan aduan yang dibuat oleh YB See Seu Kai, ADUN Pokok Assam terhadap YB Dato Ganesan a/l Retanam, Yang DiPertua (YDP) Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan bertajuk "Unlawful and disgraceful conduct by suspended members electing Ganesan a/l Retanam as "Speaker" contrary to Standing Orders and the Perak Constitution" bertarikh 13hb Julai 2009. "Saman" ini telah dikeluarkan diatas kepala surat (letterhead) YDP Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan oleh mantan YDP, Dewan Negeri Perak dan bertarikh 21hb Julai 2009.

Ianya telah diserahkan kepada pejabat YB Dato' Ganesan a/l Retanam, YDP Dewan Negeri Perak pada 22hb Julai 2009 melalui faks daripada pejabat peguam Tetuan Leong & Tan dan juga secara kediri (personal service) oleh YB Simpang Pulai (jika saya tidak silap) pada hari yang sama (berikut adalah lampiran sesalinan "Saman" untuk hadir kononnya "Mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan" yang dikeluarkan oleh YB Sivakumar a/l Varatharaju kononnya atas kapasiti YDP, Dewan Negeri Perak). "Saman" untuk hadir kononnya "Mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan" bertarikh 22hb Julai 2009 ini adalah salah di sisi undang-undang, merupakan suatu penghinaan terhadap Dewan Negeri Perak yang Mulia itu dan bersifat 'mainan politik murahan' pakatan pembangkang untuk terus mengelirukan rakyat. Berikut saya nyatakan kenapa saya berpendapat sebegitu:

1. YB Sivakumar selepas sidang Dewan Negeri Perak pada 7hb Mei 2009 bersidang semula di waktu petang, telah secara sahnya disingkirkan (removed) daripada jawatannya sebagai YDP, Dewan Negeri Perak disebabkan usul oleh YAB Dato' Seri Dr Zambry Kadir, Menteri Besar Perak dibawah Perintah Tetap 27 (3) Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan yang berbunyi, inter-alia, "...apa-apa usul hendaklah dikeluarkan notis tidak kurang daripada empat belas hari terlebih dahulu melainkan jika usul itu dengan nama Menteri Besar atau seseorang ahli yang ditugaskan bagi pihak Menteri Besar maka memadailah dengan dikeluarkan notis tujuh hari sahaja terlebih dahulu..." dibaca bersama dengan Perintah Tetap 13 Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan iaitu aturan urusan mesyuarat Dewan. Oleh itu, penggunaan kepala surat (letterhead) YDP, Dewan Negeri Perak adalah suatu penyamaran jenayah yang boleh dibuat laporan polis terhadapnya dan diambil tindakan jenayah, jika terbukti;

2. YB Sivakumar, di dalam "Saman" untuk hadir kononnya "Mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan" telah sekali lagi tidak mengiktiraf keputusan Mahkamah Persekutuan pada bulan April yang memutuskan bahawa penggantungan YAB Dato' Seri Dr Zambry & 6 EXCOnya adalah salah, ultra-vires dan tidak boleh dipakai. Ini jelas apabila beliau telah di dalam perenggan (ii) "Saman" tersebut berkata bahawa "...kesahihan penggantungan tersebut oleh Dewan Undangan Negeri belum diketepikan oleh mana-mana prosiding Mahkamah atau dibatalkan oleh prosiding Dewan Undangan Negeri selanjutnya." Untuk rujukan lanjut berkenaan perintah Mahkamah Persekutuan tersebut, sila lihat penulisan saya di bulan April yang lalu;

3. Menurut Perintah Tetap 72 (1) Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan, ianya mengkehendaki sebuah Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang mengandungi YDP, Dewan Negeri dan enam orang ahli yang dilantik oleh Dewan dengan seberapa segera yang boleh selepas dimulakan tiap-tiap penggal. Saya menyatakan bahawa Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang sah bukanlah lagi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang dipengerusikan oleh YB Sivakumar, mantan YDP, Dewan Negeri Perak kerana pada 7hb Mei 2009 selepas sahaja usul menyingkirkan beliau diterima secara majoriti 31-28 terdapat lantikan dibuat oleh pihak kerajaan BN (usul yang dibawa oleh YB Dato' Hamidah, EXCO Kanan Perak) di dalam Dewan yang mulia itu untuk melantik enam ahli baru Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang dipengerusikan oleh YB Dato' Ganesan a/l Retanam, selaku YDP, Dewan Negeri Perak yang baru. Ini boleh dilihat daripada rakaman video dan audio sewaktu Dewan bersidang pada 7hb Mei 2009 dan juga hansard Dewan bersidang pada 7hb Mei 2009; dan

4. "Perintah penggantungan" mungkin 18 bulan yang akan dibuat oleh YB Sivakumar, mantan YDP, Dewan Negeri Perak (saya hanya menjangkakan berdasarkan kepada corak tindakan lalu YB Sivakumar) adalah sia-sia, menjengkelkan akal dan tidak perlu dihiraukan oleh YB Ganesan a/l Retanam walau seinci pun!

Sebagai kesimpulan, "Saman" untuk hadir "Mesyuarat Hak dan Kebebasan" yang kononnya akan diadakan pada 27hb Julai 2009 (Isnin) jam 10.00 pagi di "Kamar Yang Di-Pertua Dewan Undangan Negeri atau lain tempat yang dipastikan oleh Yang Di-Pertua" ini hanyalah, jika saya boleh samakan, seperti "Mesyuarat dibawah Pokok" pada 3hb Mac 2009 yang tiada nilai perundangannya mahupun boleh diiktiraf sebagai persidangan Dewan tetapi hanyalah satu lagi igauan pakatan pembangkang untuk terus memberi harapan palsu dan juga bersifat 'politiking' yang keterlaluan. Nasihat saya kepada rakan-rakan peguam saya daripada Tetuan Leong & Tan ataupun Chan & Associates, sudah-sudahlah atau patut-patutlah ber'politik' kerana apapun, kita semua adalah pegawai Mahkamah dan janganlah biarkan emosi mengawal pertimbangan perundangan kita sehingga kita lupa untuk menasihati klien atau anak-guam kita apa yang boleh dibuat dan apa yang tidak boleh dibuat!

Sekian, terima kasih.

6 comments:

  1. Mohon Kerajaan Barisan Nasional dan Kerajaan Negeri di bawah pemerintahan Barisan Nasional (termasuk GLC dan badak tidak berkanun)memutuskan sebarang hubungan dengan Tetuan Leong & Chan atau Chan & Associates. Duri dalam daging, musuh dalam selimut, madu yang kita beri, tuba yang mereka balas.

    ReplyDelete
  2. salam dato. mitak izin untuk copy artikel ini ke blog saya. TQ

    ReplyDelete
  3. dato
    tak adakah satu jalan yg dapat kerajaan yg berkuasa sekarang membenamkan barua2 politik murahan ini dari buka mulut atau buat lawak keling.cara barua2 ini mmg sgt mengguris perasaan org2 melayu dan mencabar raja2 melayu keseluruhan nya.pasti ada jalan utk membenamkan mereka sampai hancur lumat.insyaallah.

    ReplyDelete
  4. TQ DATO ATAS PANDANGAN INI. AMAT BAIK DAN BERGUNA KEPADA KAMI DIBAWAH INI. PINJAM , NAK PAPAR DIBLOG SAYA

    ReplyDelete
  5. Can we charge them for insulting...kita ada dasar undang undang yang boleh dikaitkan...and i just want to share with you Dato'...Majlis Penerangan Perlembagaan by DYMM Tuanku Sultan just recently dizahirkan ...it is clearly stated...all this Sivakumar's and PR ADUN ini tak reti undang undang ke...they should be charge in court ..

    ReplyDelete
  6. Pilihan setelah jalan buntu dan amat terdesak setelah "hilang kerja".Bagi saya itu hanya publisiti murahan politik. Sebaliknya perlulah dia sendiri yg di bawa ke JK Hak Kebebasan dipengerusikan Speaker Yang sah. Kalo bersalah, gantung dan nafikan dari dibayar elaun. Sayang duit rakyat kalo tidak bertanggungjawab melaksana kewajiban kepada rakyat yg diwakilinya. Apakah dia hanya ulun atau abdi kepada pihak lain kot?

    ReplyDelete