Thursday, March 20, 2014

Wan Ahmad Menang Saman Terhadap Mat Sabu Dan Mustafa Isu ‘Projek IC’

KUALA LUMPUR, 20 Mac – Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan Setiausaha Agungnya Datuk Mustafa Ali membayar ganti rugi berjumlah RM200,000 kepada Datuk Wan Ahmad Wan Omar kerana memfitnah bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu berhubung isu ‘Projek IC’ di Sabah.
PTJ05_110513_SPR
Pesuruhjaya Kehakiman Lee Heng Cheong ketika membenarkan saman Wan Ahmad, memutuskan bahawa plaintif berjaya membuktikan kesnya terhadap Mohamad atau Mat Sabu dan Mustafa selaku defendan.
Mahkamah juga memerintahkan kedua-dua defendan itu membayar kos berjumlah RM50,000 kepada Wan Ahmad.
Bagaimanapun, mahkamah menolak tuntutan Wan Ahmad terhadap pencetak akhbar Harakah, Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd, Ketua Pengarang akhbar itu Ahmad Lutfi Othman dan penulis artikel Aziz Muda.
Lee berkata mahkamah mendapati plaintif gagal membuktikan Angkatan Edaran Enterprise adalah pencetak akhbar Harakah, Ahmad Lutfi sebagai ketua pengarang dan Aziz sebagai penulis artikel berkenaan.

Read more!