Wednesday, September 7, 2011

Majlis Peguam Kini Hilang Arah, Condong Main Politik



Majlis Peguam Malaysia atau Bar Council kini dilihat sebagai sebuah badan yang mewakili pemimpin dan parti-parti pembangkang, dan tidak lagi dilihat sebagai sebuah badan professional yang bebas dan non partisan, ujar peguambela yang juga penasihat Undang-Undang UMNO, Datuk Hafarizam Harun.

“Saya selaku peguambela yang juga merupakan ahli kepada Badan Peguam Malaysia (Malaysian Bar) melihat Majlis Peguam Malaysia (Bar Council) telah lari dari landasan tujuan penubuhan mereka mengikut Akta Profesion 1976.

“Jika kita melihat Akta Profesion Undang-Undang 1976, Majlis Peguam seharusnya bersikap bebas. Bebas bermakna, mereka sepatutnya bersikap non-partisan, berkecuali,” katanya di sini.

Tegas beliau lagi jika diperhatikan kenyataan-kenyataan Bar Council, terutamanya tiga empat bulan ini, jelas kelihatan Bar Council ini lebih kepada satu pertubuhan yang disifatkannya sebagai pertubuhan separa politik, di mana tidak ada benda yang baik yang dilakukan kerajaan.


“Contohnya, mengapa apabila saya sebagai seorang peguam telah dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, Bar Council tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi yang mana dikeluarkan di semua media termasuk Malaysian Insider dan Malaysiakini mengutuk tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor.

“Tetapi apabila Datuk Ambiga telah dihalang masuk ke Sarawak ketika Pilihanraya Negeri Sarawak baru-baru ini, tidak sampai 4 jam beliau telah dihantar pulang, Bar Council telah mengeluarkan kenyataan mengutuk pengunaan kuasa menghalang rakyat Malaysia memasuki mana-mana negeri dalam Malaysia,” ujarnya lagi.

Ujarnya, Majlis Peguam kini lebih mirip kepada pembangkang.

“Saya bercakap ini bukan sebab saya peguam UMNO. Kenapa tidak disamai saya seperti Karpal Singh, peguam DAP. Kenapa tidak disamai saya seperti anak-anak beliau, Gobind Singh Deo, peguam DAP, N Suvendren, peguam PKR. Mereka dilihat sebagai peguam, tetapi kepada saya dilihat sebagai peguam UMNO. Ini saya lihat sebagai tidak adil kerana saya walau apapun adalah seorang peguam.

“Cuma saya menjadi peguam kepada parti UMNO, Barisan Nasional. Salah ke saya untuk memilih mewakili anak guam saya sahaja, itu tidak bermakna saya sudah tersasar dari profession saya sebagai seorang peguam,” ujarnya lagi.

Namun apabila mereka menggunakan Bar Council sebagai platform, yang dilihat sebagai ‘baling batu sembunyi tangan’, kewibawaan dan kredibiliti Bar Council itu telah menampakkan mereka ini tidak lagi bebas.

“Saya difahamkan di bangunan Bar Council ada poster mendiang Teo Beng Hock, kenapa tidak ada pejuang-pejuang UMNO, kenapa tidak ada poster Datuk Zambry sebagai Menteri Besar Perak, beliau juga seorang pejuang, seorang yang professional,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, Hafarizam turut mencadangkan kepada Bar Council untuk pergi ke Jabatan Pendaftar Pertubuhan, minta borang dan tubuhkan sebuah parti politik yang dikenali sebagai Majlis Peguam Parti Politik Peguam.

“Dengan itu, marilah masuk kem kancah politik, marilah kita sama-sama bergelumang dalam arus politik,” ujarnya. -MediaUMNO

No comments:

Post a Comment