Thursday, October 15, 2009

Pindaan Perlembagaan UMNO - sinopsis

Salam Sejahtera,

Izinkan saya, bagi maksud makluman pembaca-pembaca blog saya, untuk menggariskan tujuh (7) premis pindaan Perlembagaan UMNO yang telah diluluskan sebulat suara oleh Perhimpunan Agung Khas UMNO semalam.

Premis pertama ialah meluaskan jumlah perwakilan dan sekaligus memindahkan kuasa memilih Ahli-ahli Majlis Tertinggi (MT) termasuk Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap UMNO Malaysia ke peringkat Mesyuarat Perwakilan Bahagian. Fasal-fasal yang terlibat ialah 8.3.3, 8.3.4, 9.3, 9.4, 9.9, 9.10, 14.5.1, 14.5.2, 14.5.4, 17.5.7 & 17.5.8 serta memasukkan fasal baru 14.4.7 Perlembagaan UMNO Malaysia. Efeknya, secara ringkas, ialah seramai 146,500 perwakilan Bahagian-Bahagian (sebanyak 191 Bahagian) akan memilih Ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO (iaitu Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden & 25 Ahli Majlis Tertinggi) disamping memilih ahli jawatankuasa Bahagian. Selaras dengan pindaan ini juga, Ketua-Ketua Sayap Cawangan (iaitu Wanita, Pemuda & Puteri) akan secara otomatik menjadi perwakilan ke Mesyuarat Perwakilan Bahagian (sebagai contoh, untuk cawangan yang ahlinya adalah 250 orang, seramai 9 wakil Cawangan iaitu 1 Ketua, 5 wakil Cawangan & 3 Ketua sayap). Ini merupakan perubahan besar kepada UMNO dan tentunya akan didukung oleh semua ahli UMNO dan dihormati oleh rakyat.
Premis kedua ialah penghapusan kuota. Secara ringkas, ianya bermaksud ahli-ahli UMNO yang ingin menawarkan diri untuk bertanding hanya perlu memenuhi kelayakan minima iaitu untuk ahli-ahli Majlis Tertinggi hendaklah sekurang-kurangnya telah menjadi Ahli MT (MT) atau Ahli Jawatankuasa Bahagian (AJK) selama satu (1) penggal. Manakala untuk bertanding AJK Bahagian pula adalah menjadi ahli UMNO sekurang-kurangnya tiga (3) tahun. Fasal-fasal yang terlibat adalah 9.5 dan 15.5 Perlembagaan UMNO. Untuk makluman, Perlembagaan Malaysia juga ada menetapkan kelayakan minima jika seseorang itu mahu bertanding untuk kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.
Premis ketiga ialah pertambahan wakil wanita selaku ahli lantikan di semua peringkat iaitu Majlis Tertinggi, Bahagian & Cawangan. Selari dengan itu juga, jumlah ahli lantikan yang dibolehkan untuk Presiden, Ketua Bahagian & Ketua Cawangan ditambah satu (1) di semua peringkat iaitu untuk MT tiga-belas (13) orang, Bahagian lapan (8) orang & Cawangan (6) orang. Fasal-fasal yang terlibat ialah 9.2.8, 15.1.8, 15.2 & 18.1.8 Perlembagaan UMNO.
Premis keempat ialah penubuhan Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) sebagai satu badan khusus untuk mengendalikan pemilihan di peringkat MT dan Bahagian. Juga telah dicadangkan, untuk tahun pemilihan (bagi UMNO ialah 3 tahun sekali) pemilihan di peringkat Bahagian dibuat serentak. Dengan ini, kempen akan lebih teratur & mengurangkan 'politiking' (termasuk anasir salahlaku). Fasal terlibat ialah 10.5 Perlembagaan UMNO manakala untuk pemilihan serentak, ianya telah ada di Fasal 10.4. Apa yang perlu ialah arahan MT untuk dibuat serentak pemilihan Bahagian di dalam tahun pemilihan.
Premis kelima ialah yuran tahunan (RM1 setahun) dihapuskan dan RM2 yang dibayar sewaktu pendaftaran akan diterima sebagai yuran seumur hidup. Fasal-fasal yangterlibat ialah 8.4.3, 10.2, 10.9, 14.4.3, 14.4.4, 15.13.4, 15.13.8, 17.4.3 & 18.12.3 Perlembagaan UMNO. Ini akan tentunya mengurangkan masalah pembatalan mesyuarat Cawangan dan meminimakan salahguna kuasa ketua cawangan yang dengan sengaja tidak membayar yuran tahunan (atau tidak mahu menerima yuran tahunan).
Premis keenam ialah sistem pendaftaran keahlian diperluaskan dengan memberi kuasa kepada ketua-ketua sayap iaitu Ketua Wanita Cawangan, Ketua Pemuda Cwangan & Ketua Puteri Cawangan (selain Ketua Cawangan yang sememangnya mempunyai kuasa tersebut). Dengan pindaan ini juga, kuasa melulus dan menerima akan dipecahkan kepada empat (4) peringkat iaitu Cawangan (oleh Ketua Cawangan), Wanita (oleh Ketua Wanita Cawangan), Pemuda (oleh Ketua Pemuda Cawangan) & Puteri (oleh Ketua Puteri Cawangan). Fasa-fasal yang terlibat ialah 5.2, 18.12.4 & 18.12.11 Perlembagaan UMNO.
Premis ketujuh ialah menjadikan Setiausaha Bahagian perwakilan otomatik ke Perhimpunan Agung Tahunan. Ini adalah mengenang jasa dan memberi pengiktirafan kepada Setiausaha Bahagian yang sememangnya berkerja kuat untuk memastikan pentabdiran Bahagian lancar. Fasal terlibat ialah 8.4.4 Perlembagaan UMNO.
Pengamatan saya daripada pindaan-pindaan diatas ialah UMNO peka kepada permintaan perubahan, sentiasa 'versatile' dengan tuntutan peredaran zaman & Perlembagaan UMNO adalah contoh 'living piece of document' dan mestilah ditafsirkan secara liberal & bukannya, di dalam meminjam kata-kata DYMM Sultan Azlan Shaha (ketika itu Raja Azlan Shah, LP), 'read in a pedantic way' (dibaca secara sempit).
Saya berharap ahli-ahli UMNO akan mendukung pindaan ini dan untuk rakyat Malaysia, akan melihat ini sebagai suatu langkah serius UMNO untuk kembali rapat kepada rakyat & menjadi juara untuk semua tanpa mengira bangsa & agama.
Sekian, terima kasih.

Read more!

Tuesday, October 6, 2009

Paparan Iklan Barisan Nasional di N. 31 Bagan Pinang - adakah ianya melanggar undang-undang pilihanraya?



Salam Sejahtera,

Saya baru sahaja pulang daripada Port Dickson (DUN N. 31 Bagan Pinang) petang tadi. Sewaktu saya di sana, saya telah melihat banyak paparan iklan Barisan Nasional yang telah diletak di tepi jalan-jalan utama DUN Bagan Pinang. Paparan iklan itu antara lainnya menyatakan tentang manipulasi PAS terhadap kanak-kanak di bawah umur (bukan pengundi), janji-janji yang tidak ditepati dan juga politik 'tolak pembangunan' PAS.

Selanjutnya, saya juga sempat melihat paparan iklan PAS yang diletak di persimpangan jalan (berdekatan dengan PD Marina Resort) antara lainnya menyatakan bahawa BN gagal penuhi janji pengundi Rembau semasa PRU-12 dsb.

Sewaktu mengikuti Berita Awani jam 9.00 malam tadi, saya amat tertarik kepada 'amaran' Pengarah Pilihanraya Dewan Pemuda PAS, Saudara Mohd Firdaus Jaafar yang memberi amaran kepada jentera BN agar menurunkan segala paparan iklan yang mengikut beliau berunsur 'fitnah' dan menyalahi undang-undang dalam masa 24 jam ataupun mereka akan menurunkannya (self-help).

Saya ingin mengulas pertama mengenai paparan iklan BN ataupun PAS dan kedua mengenai 'amaran' menurunkan dalam 24 jam ataupun akan diturunkan (self-help). Saya telah menyelidik undang-undang termaktub berkenaan kesalahan pilihanraya iaitu Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 ("Akta tersebut"). Seksyen-seksyen yang relevan adalah Seksyen 9 dan 24B Akta tersebut. Seksyen 9 Akta tersebut tidak ada menyatakan, secara tersurat mahupun tersirat, bahawa ianya adalah suatu kesalahan pilihanraya jika paparan iklan yang bermaksud sebagaimana saya telah katakan tadi sebagai 'pengaruh tidak wajar'. Ini kerana Seksyen 9 Akta tersebut hanya berkata mengenai kekerasan, keganasan atau halangan, atau yang mengenakan atau mengancam hendak mengenakan, dengan sendiri atau melalui mana-mana orang lain, apa-apa bencana, kecacatan, kerosakan, atau kerugian keduniaan atau kerohanian. Apa yang dikatakan oleh paparan iklan BN hanyalah fakta sebenar atau paling kurang, adalah propaganda politik yang dibolehkan mengikut lunas undang-undang pilihanraya.

Seterusnya, Seksyen 24B Akta tersebut pula menetapkan bahawa apa-apa perjumpaan terbuka, perhimpunan awam terbuka, pertunjukan awam terbuka atau hiburan awam terbuka, ucapan awam terbuka atau syarahan awam terbuka mestilah mempunyai permit daripada Ketua Polis Daerah (KPD). Tiada apa-apa berkenaan paparan iklan yang mesti mendapat permit KPD.

Saya berpendapat bahawa Seksyen yang relevan, jikalaupun hendak dijadikan sebagai asas rujukan Pasukan Petugas - Kempen Pilihanraya (PP-KPR), dalam mengarahkan penurunan paparan iklan BN hanyalah Seksyen 27E (b) Akta tersebut. Namun begitu, jika dilihat seksyen tersbeut, ianya spesifik kepada bahan-bahan kempen yang tidak mematuhi mana-mana undang-undang bertulis yang berhubungan dengan pilihan raya (justeru itu hanya Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 yang terpakai, Akta-akta lain seperti Akta Hasutan dsb adalah tidak terpakai). Sebagai contoh, jika dilihat kepada Seksyen 11 (1) (c) Akta tersebut, ianya hanya berkata tentang mencetak, menerbitkan, mengedarkan atau menampalkan atau menyebabkan supaya dicetak, diterbitkan, diedarkan atau ditampalkan apa-apa iklan, surat sebaran, pelekat atau poster yang berkenaan dengan mana-mana pilihan raya dan yang tidak mengandungi pada mukanya nama dan alamat pencetak dan penerbitnya. Jika dirujuk lagi, Seksyen 11 (1) (d) Akta tersebut, hanya menyatakan membuat atau menerbitkan apa-apa pernyataan palsu mengenai fakta berhubung dengan watak atau kelakuan peribadi calon itu sebelum atau semasa mana-mana pilihan raya bagi maksud menpengaruhi supaya mana-mana calon dipilih.

Oleh itu, paparan iklan BN tidak menyalahi mana-mana undang-undang berkenaan pilihanraya dan sepatutnya dikekalkan selagi ianya tidak melanggar seksyen-seksyen yang telah saya nyatakan diatas.

Berkenaan amaran Saudara Mohd Firdaus untuk menurunkan sendiri paparan iklan BN dalam masa 24 jam (jika tidak diturunkan oleh petugas BN), saya berpendapat ianya bersifat retorik politik sahaja tanpa asas undang-undang yang kukuh. Saya juga ingin menasihatkan agar beliau lebih berhati-hati aapabila bermain sentimen seperti ini kerana ianya boleh mencetus ketegangan dsb. Adalah lebih baik beliau fokus kepada isu-isu pembangunan setempat DUN Bagan Pinang yang ternyata kurang sekali disentuh oleh PAS di dalam pilihanraya kecil ini.

Sekian, terima kasih.

[Salam Sejahtera & selamat tengahari,

Hari ini (7/10/2009) YBM Tengku Datuk Seri Adnan Tengku Mansor, Setiausaha Agung UMNO Malaysia telah membawa ke perhatian saya Seksyen 4A (1) Akta Kesalahan Pilihanraya 1964. Mengikut YBM Tengku Datuk Seri, seksyen tersebut telah menjadi dasar laporan polis yang dibuat oleh PAS terhadap BN.

Saya telah meneliti dan berpendapat Seksyen tersebut mungkin tidak tepat pemakaiannya oleh PP-KPR dalam menurunkan paparan iklan BN/PAS kerana seksyen itu lebih kepada pernyataan dengan tujuan atau dengan kecenderungan untuk mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati atau permusuhan anatar orang yang terdiri daripada kaum yang sama atau kaum yang berlainan atau daripada golongan yang sama atau golongan yang berlainan penduduk Malaysia untuk mendorong mana-mana pemilih atau pengundi supaya mengundi atau tidak mengundi. Jika disabitkan kesalahan itu, ianya boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan dan didenda kedua-duanya.

Apa-apa pun keputusan telah dibuat oleh PP-KPR dan ianya perlu dihormati. Yang pentingnya, PAS sekarang sedar bahawa PP-KPR (atau SPR) tidaklah 'bias' ataupun menjadi 'alat' BN kerana paparan iklan BN juga telah diturunkan.

Sekian, terima kasih]


Read more!

Wednesday, September 30, 2009

Hari Penamaan Calon Pilihanraya Kecil N. 31 Bagan Pinang

Salam Sejahtera & Salam Aidil Fitri,

Saya memohon maaf, jika ada kepada pembaca-pembaca blog saya kerana telah lama tidak menulis di dalam blog saya. Ini adalah kerana kesibukan kerja saya satu (1) atau (2) bulan lepas dengan kes Mahkamah Tinggi Malaya di Ipoh antara Sivakumar lwn Ganesan (Kes No. MT3-22-118-2009) yang telahpun diselesaikan pada 8hb September, kemudian dengan kes Elegant Advisory lawan UMNO di Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur (Kes No. D5-22-1082-2008) pada 10hb September 2009 dan meminda Perlembagaan UMNO yang akan dibentangkan pada Perhimpunan Agung UMNO Tahunan 2009 bermula 13hb Oktober 2009.

Saya terbaca di dalam akhbar hari berkenaan amaran SPR kepada parti-parti politik pakatan pembangkang (kecuali BN dan PAS) agar tidak menaikkan apajua bendera, poster, kain rentang dsb pada Hari Penamaan Calon Pilihanraya Kecil (PRK) N. 31 Bagan Pinang. Saya mengucapkan tahniah kepada SPR kerana telah memberi amaran awal kepada parti-parti politik yang tidak berkenaan (atau bertanding) kerana ini sememangnya kedudukan sebenar di dalam undang-undang pilihanraya. Saya merujuk kepada penulisan saya berkenaan PRK Manek Urai.

Justeru itu, saya menasihatkan kepada semua jentera atau petugas parti UMNO/BN, jika terlihat apajua insignia parti-parti politik pakatan pembangkang yang tidak berkenaan, laporlah terus kepada SPR iaitu Pasukan Petugas-Kempen Pilihanraya (PP-KPR). Saya juga ingin mengesa pihak PDRM agar tidak membenarkan, sewaktu Hari Penamaan Calon PRK N. 31 Bagan Pinang sabut ini, pemimpin-pemimpin parti-parti politik pakatan pembangkang lain seprti PKR & DAP daripada hadir dan masuk ke dalam kawasan Pusat Penamaan Calon N. 31 Bagan Pinang nanti. Ini selaras dengan larangan menaikkan apajua bendera, psoter, kain rentang parti politik pakatan pembangkang.

Sekian, terima kasih.
Read more!

Thursday, September 10, 2009

Mahkamah Tinggi Tolak Kes Saman Terhadap UMNO (Guaman Sivil No D5-22-1082-2008)

KUALA LUMPUR,10 Sept – Mahkamah Tinggi membuat keputusan membuang kes saman bernilai RM218 juta yang dikemukakan oleh syarikat pembekal barangan pilihan raya, Elegant Advisory Sdn. Bhd. terhadap UMNO, hari ini.

Hakim Ananthan Kasinater memutuskan demikian dengan kos setelah mendapati tiada kontrak khusus (Privity of contract) antara kedua-dua pihak di dalam kes saman tersebut.

Menurutnya, syarikat terbabit juga tidak boleh bergantung pada Seksyen 71 Akta Kontrak , 1950 untuk menuntut keuntungan yang tidak adil (unjust enrichment).

Hakim tersebut juga mengarahkan Elegant Advisory membayar RM10,000 kepada UMNO dalam tempoh 14 hari.

UMNO diwakili Datuk Mohd Hafarizam Harun manakala peguam Ahmad Tarmizi Abdullah mewakili Elegant Advisory

Berikut dilampirkan salinan keputusan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur.
Read more!

Monday, August 24, 2009

Hari Pengundian (Polling Day) N. 11 Permatang Pasir

Salam Sejahtera,

Pertama sekali, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat mengerjakan ibadah puasa di dalam bulan Ramadhan Al-Kareem ini. Semoga segala ibadah kita akan dilipat-gandakan pahala olehNya, insya-Allah.

Esok akan bermulalah pengundian untuk pilihanraya kecil DUN N. 11 Permatang Pasir. Waktu mengundi, mengikut Peraturan 11 (5) Peraturan-peraturan pilihan raya (perjalanan pilihan raya) 1981, adalah antara jam lapan (8) pagi sehingga lima (5) petang.

Saya ingin mengambil kesempatan untuk memberi sedikit pesanan kepada petugas-petugas piihanraya BN terutamanya ejen-ejen mengira undi (counting agent) dan tempat mengundi (polling agent). Saya mengambil iktibar ini daripada pengalaman sewaktu PRK Manek Urai, Kelantan yang lalu dan juga pengalaman saya sebelum ini.

Bagi makluman ejen tempat mengundi (polling agent), sila tandakan buku daftar pemilih secara terang, konsisten & gariskan di atas nama pengundi daftar yang hadir untuk mengundi. Ini diperlukan sekiranya pihak kami perlu membuat permohonan di Mahkamah pilihanraya untuk suatu tahafus (scrutiny). Juga, sediakanlah beberapa kertas kosong sekiranya perlu dibuat kiraan berapa ramai pengundi telah hadir mengikut waktu bertugas. Untuk ejen tempat mengundi yang bertugas di awal pagi iaitu jam 8 pagi, silalah menandatangani Borang 13 (Penyata Kertas Undi) yang diberikan oleh Ketua Tempat Mengundi (KTM) saluran masing-masing dan pohon kepada KTM agar diberikan sesalinan (untuk rekod) di waktu petang apabila waktu mengundi diumumkan telah tamat.

Khusus untuk ejen mengira undi (counting agent), sebelum diberi Borang 14 (Penyata Pengundi Selepas Pengiraan Undi) oleh Ketua Tempat Mengundi (KTM) saluran masing-masing untuk ditandatangani, pastikan jika perbezaan undi diantara calon PAS dengan BN adalah empat (4) peratus atau kurang daripada jumlah bilangan undi yang dibuang, minta diadakan semula pengiraan kertas undi yang telah diterima (recount of accepted votes) di saluran masing-masing. Ini kerana Peraturan 25 (13) Peraturan-peraturan (perjalanan pilihanraya) 1981 telah dipinda pada 13/02/2004 dimana tidak lagi dibenarkan pengiraan semula (recount) di Dewan Penjumlahan Rasmi Undi (Totalling centre) seperti kebiasaan. Ini penting dibuat jika perbezaan antara kedua-dua calon adalah kurang daripada 4% daripada jumlah undi yang telah dibuang, sebagai contoh di PRK Manek Urai yang lalu. Setelah dibuat pengiraan semula, barulah disarankan menandatangani Borang 14 yang tersebut diatas.

Selamat bertugas dan salam perjuangan daripada saya.

Sekian, terima kasih

Read more!

Tuesday, August 18, 2009

KENYATAAN RASMI PEJABAT PENASIHAT UNDANG-UNDANG UMNO MALAYSIA

(1) STATUS KELAYAKAN BERTANDING CALON BN N.11 PERMATANG PASIR, SAUDARA ROHAIZAT BIN OSMAN

Banyak telah diperkatakan di dalam akhbar dan juga blog-blog berkenaan status saudara Rohaizat bin Othman, calon BN N. 11 Permatang Pasir untuk bertanding di dalam Pilihanraya Kecil ini. Begitu juga berkenaan tindakan tatatertib terhadap beliau oleh Lembaga Tatatertib Peguambela dan Peguamcara. Pejabat ini ingin menjelaskan perkara berikut.

Perkara 48 Perlembagaan Malaysia jelas maksudnya iaitu seseorang hanya akan hilang kelayakan untuk menjadi Ahli Parlimen [di dalam situasi saudara Rohaizat, Ahli Dewan Undangan Negeri] jika:

(a) Tidak sempurna akal;
(b) Seorang bankrap yang belum dilepaskan;
(c) Memegang sesuatu jawatan berkepentingan;
(d) Gagal menghantar penyata belanja pilihanraya dalam masa dan mengikut cara yang dikehendaki;
(e) Disabitkan suatu kesalahan oleh sesuatu Mahkamah dan dihukum penjara selama tempoh tidak kurang 1 tahun atau denda tidak kurang daripada 2 ribu ringgit dan ia tidak mendapat ampun; dan
(f) Hilang kewarganegaraan.

Berdasarkan kepada perkara di atas, Saudara Rohaizat bin Othman tidak hilang kelayakannya dan nasihat di atas juga telah diberikan oleh Pejabat ini kepada pucuk pimpinan UMNO. Justeru itu, Saudara Rohaizat bin Othman telah dipilih untuk menjadi calon BN N.11 Permatang Pasir.

(2) ISU TINDAKAN TATATERTIB OLEH LEMBAGA TATATERTIB PEGUAMBELA & PEGUAMCARA TERHADAP SAUDARA ROHAIZAT BIN OTHMAN

Di dalam Usul Pemula No. 25-33-2008 di Mahkamah Tinggi Malaya di Pulau Pinang, Saudara Rohaizat bin Othman telah menyatakan keterangan bersumpah seperti berikut:-

(a) Transaksi jual beli sebidang tanah oleh Koperasi Pekebun Getah Negeri Pulau Pinang Berhad [“Koperasi itu”] dikendalikan sepenuhnya oleh bekas rakan kongsi beliau;

(b) Pada masa aduan dibuat oleh Koperasi itu, bekas rakan kongsi beliau telahpun meninggalkan firma beliau, Tetuan Saif Ariff & Rohaizat;

(c) Beliau telah hadir bicara kali pertama di hadapan “Disciplinary Committee” pada 11/9/2007 dan kerana kesuntukan masa, telah ditangguhkan ke tarikh 14/11/2007 bagi beliau memberikan penjelasan sewajarnya;

(d) Malangnya pada 14/11/2007, beliau telah jatuh sakit dan sesalinan sijil sakit telah difakskan kepada ahli “Disciplinary Committee” pada hari itu juga dan telah menghantar wakil untuk memaklumkan perkara tersebut;

(e) Pada 14/3/2008, beliau telah menerima sepucuk surat bertarikh 12/3/2008 daripada Lembaga Tatatertib Peguambela dan Peguamcara dengan satu salinan Perintah menyatakan bahawa beliau telah dibatalkan daripada Daftarai Peguambela dan Peguamcara; dan

(f) Isu tuntutan Koperasi itu telahpun diselesaikan sepenuhnya dan Koperasi itu telah mengeluarkan sepucuk surat bertarikh 28/3/2008 mengesahkan perkara ini.

Rentetan peristiwa di atas jelas menunjukkan bahawa Saudara Rohaizat bin Othman telah sanggup mengambil tanggungjawab sebagai rakan kongsi di dalam firma tersebut. Walau apapun, beliau telah mnyelesaikan segala bayaran yg tertunggak bagi membersihkan nama baik beliau dan firmanya.

Tindakan tatatertib yang diambil terhadap beliau adalah atas kapasiti bersesama dan berasingan [“joint and several liability”] di dalam undang-undang lazim perkongsian selaras dengan Akta Perkongsian 1961. Malahan, rakan-rakan kongsi di dalam firma guaman akan terdedah kepada liabiliti yang tidak terhad termasuklah perilaku jenayah, kecuaian dan pengabaian rakan-rakan kongsi di dalam firma guaman. Ini bukanlah suatu pembahagian liabiliti yang adil tetapi itulah bagaimana firma guaman diwujudkan di Malaysia tatkala ini.

Justeru itu, adalah tidak tepat jika dikatakan bahawa Saudara Rohaizat bin Othman diadukan atas kapasiti perseorangan beliau sebagai seorang pengamal undang-undang walhal beliau adalah rakan kongsi di firma tersebut dan liabiliti beliau adalah terpaut kepada firma guaman beliau juga. Adalah diakui setakatmana bahawa tindakan yang diambil terhadap beliau adalah dibawah Seksyen 103D Akta Profesyen Undang-Undang 1976 tetapi itu samalah seperti tindakan diambil terhadap pengarah Syarikat yang diperbadankan.

Tindakan tatatertib ini sama prosesnya seperti badan-badan professional yang lain i.e. Majlis Perubatan Malaysia, Persatuan Akitek Malaysia. Di dalam konteks UMNO pula, ianya sama seperti Lembaga Disiplin UMNO mengambil tindakan salahlaku tataetika ahlinya tetapi tidak bermakna ahli UMNO itu telah melakukan pecah amanah dan sebagainya.

Akhir kata, isu berkenaan kelayakan bertanding hanya tertakluk kepada Perlembagaan Malaysia dan Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 manakala isu tindakan tatatertib pengamal undang-undang hanyalah tertakluk kepada Akta Profesyen Undang-Undang 1976. Tidak ada kaitan antara kedua-duanya dan oleh itu, tidak timbul isu salahlaku jenayah [criminal misconduct] kecuali adanya sabitan di Mahkamah dan hukuman dijatuhkan dan tiada pengampunan diberikan.

Sekian. terima kasih.

DATUK MOHD HAFARIZAM HARUN
Read more!

Friday, August 14, 2009

Pilihanraya Kecil N. 11 DUN Permatang Pasir

Salam Sejahtera,

Hari Isnin depan bersamaan dengan 17hb Ogos 2009, penamaan calon untuk Pilihanraya Kecil N. 11 DUN Permatang Pasir, Pulau Pinang (PRK N. 11 DUN Permatang Pasir) akan berlangsung. Untuk itu, saya ingin mengulas sedikit berkenaan undang-undang sewaktu Hari Penamaan Calon bagi maksud dan rujukan petugas-petugas BN/UMNO supaya BN/UMNO akan dilihat mematuhi undang-undang walau apapun keputusan PRK N. 11 DUN Permatang Pasir nanti.

Seksyen 24A Akta Kesalahan Pilihanraya, 1954 menyenaraikan batasan diayah politik pada hari penamaan seperti berikut:

Seksyen 24A(1):
(1) memberi atau membekal kepada mana-mana orang apa-apa alat muzik atau pembesar suara dengan tujuan alatan tersebut digunakan dengan apa cara atau digunakan di dalam vesel, binatang, motokar, trak atau kenderaan lain;

(2) menggunakan sendiri atau menggunakan di dalam vesel, binatang, motokar, trak atau kenderaan lain alatan muzik atau pembesar suara itu.

Seksyen 24A(2):
(3) menunggu atau berdiri-diri dalam jarak lima puluh meter dari sempadan mana-mana tempat penamaan calon.

Berikut adalah batasan-batasan yang ditetapkan untuk Hari Penamaan Calon, justeru itu memakai lambang parti di dalam kawasan Dewan Penamaan Calon adalah tidak dilarang dan begitulah juga membawa bendera-bendera parti dsb.

Saya juga ingin mengambil kesempatan disini untuk mengingatkan jentera BN/UMNO bagi PRK N. 11 DUN Permatang Pasir sekiranya selepas diumumkan adanya pertandingan Isnin nanti, jika kelihatan bendera-bendera (ataupun markas-markas/bilik-bilik gerakan) selain parti PAS, hendaklah dibuat aduan serta-merta kepada Ketua PP-KPR (iaitu pasukan petugas kempen pilihanraya yang terdiri daripada polis, SPR, wakil calon-calon yang bertanding & PBT) agar bendera selain PAS tidak dibenarkan untuk dikibarkan ataupun markas/bilik gerakan didirikan. Ini selaras dengan Peraturan 11(2)(b) & (c) Peraturan-Peraturan Pilihanraya (Perjalanan Pilihanraya) 1981 yang jelas maksudnya dan telahpun dikuatkuasakan sewaktu PRK Manek Urai baru-baru ini.

Sekian, terima kasih.

Read more!