ADUN DAP mengelilingi Speaker baru, Ganesan yang mahu memulakan Persidangan Dewan
Pakatan pembangkang melakukan kekecohan di dalam Dewan
Raja Muda menitahkan sesuatu kepada Nizar dan Ngeh
Raja Muda, Raja Nazrin Shah memulakan titah DiRaja apabila suasana tenang
TERKINI – Sidang DUN Perak yang dipenuhi dengan kekecohan selesai apabila ditangguhkan dan Raja Muda meninggalkan Dewan.
Sebelum itu, Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry mengusulkan agar Dewan ditangguh, dan usul tersebut diluluskan walaupun ADUN DAP cuba membantah. Speaker menetapkan Sidang DUN ditangguhkan sehingga ke satu tarikh yang akan ditetapkan.
Selesai persidangan tersebut, Nizar dan Ngeh kelihatan terus menemui pihak media manakala Sivakumar yang diarah keluar sebelum itu, kembali memasuki Dewan Persidangan.
Berkaitan hal tersebut, Dr. Zambry akan mengadakan sidang media di pejabatnya.
16:20
……….
Selepas menunggu lebih enam jam bagi memulakan titah DiRaja, Raja Nazrin menyampaikan titah secara tenang dan serius termasuk menyentuh ekonomi.
DAULAT TUANKU!
15:32
……….
Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah memulakan titah DiRaja apabila suasana di dalam Dewan Persidangan kembali aman dan terkawal.
Sebelum itu, Datuk Seri Nizar terus memohon sembah kepada Baginda Raja Muda mengadu berkaitan bekas Speaker Sivakumar dibawa keluar dari Dewan Persidangan. Lantaran itu, Raja Nazrin menitahkan sesuatu kepada Nizar dan Ngeh Koo Ham (DAP).
Sejurus kemudian, selepas mendengar titah Baginda, Nizar meminta semua ADUN pembangkang duduk di tempat masing-masing.
Raja Muda kemudiannya menyampaikan titah.
15:25
……….
Sidang DUN yang tertangguh diteruskan dengan usul Raja Muda untuk merasmikan Persidangan diluluskan oleh DUN.
Namun demikian, ADUN DAP terus berdiri sambil mengetuk meja sebagai tanda bantahan. Berikutan itu, dua ADUN DAP telah diarah keluar kerana mengganggu Persidangan.
15:06
……….
Suasana kecoh dalam Dewan Persidangan sebentar tadi kembali tenang apabila bekas Speaker, S. Sivakumar telah dibawa keluar dari Dewan oleh para petugas. Sivakumar telah diangkat keluar setelah enggan patuh arahan keluar dari Dewan oleh Speaker baru, Ganesan.
Selepas itu, Ganesan mengambil tempat untuk memulakan tugas sebagai Speaker dan memulakan Persidangan DUN.
14:56
……….
Suasana tegang yang diwujudkan oleh pihak pembangkang telah menyebabkan ADUN BN yang sebelum ini berdiam diri bertindak beramai-ramai untuk membawa bekas Speaker, S. Sivakumar keluar dari Dewan Persidangan.
Tindakan tersebut cuba dihalang oleh ADUN DAP.
14:39
……….
Persidangan DUN Perak disambung semula setelah ditangguhkan buat kali kedua sejam yang lalu. Namun demikian, keadaan masih tegang berikutan tindakan ADUN pakatan campuran khususnya DAP yang terus-terusan membuat provokasi terhadap ADUN BN.
Kebiadaban ADUN pembangkang yang tidak menghormati tempat persidangan hampir mencetuskan pergaduhan apabila mereka menyerbu ke tempat duduk ADUN BN hinggakan memaksa pihak polis campur tangan bagi mengawal keadaan.
Tindakan ganas dan sifat seperti tidak bertamadun wakil rakyat pembangkang ini semakin jelas apabila mereka bukan sahaja cuba menghalau Speaker baru tetapi juga turut sama menjerit-jerit di dalam Dewan kerana menghalau pihak polis yang cuba mengawal keadaan.
14:25
……….
R. Ganesan menangguhkan Sidang Dewan satu jam lagi ekoran kekecohan yang dilakukan oleh ADUN pakatan campuran. Semua ahli-ahli Dewan Negeri akur termasuklah pihak pembangkang sendiri biarpun mereka tidak menerima pelantikan Ganesan.
13:00
……….
Speaker baru R. Ganesan yang mahu memulakan tugas selepas penangguhan Dewan selama satu jam diserbu oleh lima ADUN DAP atas cubaan menghalang beliau melaksanakan tanggungjawab. ADUN BN cuba meleraikan hingga berlaku tolak menolak.
Kira-kira 15 ADUN DAP bersikap kurang sopan dan mengepung Speaker di blok kerusi ADUN BN dan mendesak agar Ganesan keluar. Namun demikian, Ganesan tidak mengendahkan tindakan mereka.
Dalam masa yang sama, Raja Muda masih di bilik menunggu dan belum merasmikan persidangan.
Sehubungan itu, dapat disifatkan bahawa tindakan ADUN pakatan campuran biadap dan tidak menghormati Dewan Negeri di samping menghina Pemangku Raja Perak yang terpaksa menunggu.
12:48
……….
ADUN BN bersama tiga ADUN Bebas meluluskan usul melantik R. Ganesan sebagai Speaker.Ganesan telah mengangkat sumpah sebagai Yang DiPertua baru sedangkan Sivakumar tetap di kerusi yang didudukinnya.
Sehubungan itu, Ganesan sebagai Spearker baru meneruskan Sidang Dewan sambil berdiri dan dikerumuni oleh ADUN BN.
Dr. Zambry membawa usul agar Persidangan ditangguhkan dan ia diluluskan dengan Ganesan memaklumkan penangguhan selama satu jam. Namun begitu, ADUN masih tidak keluar dan duduk di tempat masing-masing
Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah yang dijadualkan membuka secara rasmi persidangan hari pertama belum boleh memasuki dewan.
11:16
……….
IPOH, 7 Mei - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak tetap berjalan seperti yang dijadualkan dan Menteri Besarnya, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir tiba jam 9.25 manakala tepat jam 9.30 pagi Raja Muda Perak tiba untuk upacara perasmian dan memeriksa perbarisan.
Setakat ini dilaporkan seramai 11 orang ditahan berikutan melanggar arahan pihak polis setelah ingkar perintah polis untuk tidak meninggalkan perkarangan bangunan tersebut termasuklah cubaan menyusup masuk ke Bangunan SUK.
Antara mereka yang ditahan dalam kekecohan tersebut ialah ahli parlimen PKR-Ampang, Zuraida Kamaruddin; ADUN Teratai (Selangor) Janice Lee dan ADUN Ayer Keroh (Melaka) Khoo Poay Tiong.
Sementara itu, di dalam Dewan Persidangan pula, kekecohan turut dilaporkan terjadi apabila Yang DiPertua Dewan, S. Sivakumar bertindak mengikut kepentingan sendiri.
Ini terjadi apabila Sivakumar menyalahgunakan kuasa dengan mengarahkan Dr. Zambry bersama enam Exconya dan tiga Adun Bebas untuk keluar dari Dewan. Raja Muda pula masih di bilik menunggu dan belum pun merasmikan persidangan.
Persoalannya, mengapa ini berlaku sedangkan Mahkamah telah pun memutuskan bahawa Dr. Zambry bersama enam Exco dan tiga Adun Bebas masih sah atas jawatan masing-masing.
Kekecohan ini masih lagi berlarutan walaupun Dr. Zambry telah kemukakan satu usul untuk memecat Sivakumar sebagai Yang DiPertua tetapi tidak diendahkan dan kata ususl tersebut tidak sah kononnya Dr. Zambry dah digantung.
Dalam hal ini, nilailah semula keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah yang secara jelas menunjukkan bahawa pakatan campuran termasuk Sivakumar enggan mematuhi undang-undang dan keputusan Mahkamah.
Sesungguhnya ini semua dilakukan oleh Sivakumar bukanlah atas rasa amanah dan tanggungjawab atas tugas yang dipikul sebaliknya sebagai ahli pembangkang yang sememangnya iri hati dengan peralihan kepimpinan negeri cuba menggagalkan pentadbiran BN dengan bermacam cara.
Inilah langkah pakatan campuran yang secara jelas enggan melakukan apa yang sewajarnya secara terancang atau mengikut prosedur yang sebenar.
Lihat sahaja sebelum ini apabila kesejahteraan dalam perpaduan dan kerukunan atas pelbagai kaum juga turut dijadikan sebagai modal politik dengan mewujudkan bermacam-macam propaganda, demonstrasi jalanan dan tunjuk perasaan yang ternyata ada dalang di sebalik semua insiden berlaku.
Jika dilihat, demonstrasi kecil yang berlangsung tersebut adalah suara segelintir individu untuk bercakap terus kepada pemimpin iaitu mengambil peluang atas kehadiran mereka yang ada, namun apakah kesudahannya?
Jika difikirkan, adakah mereka ini bergerak bersendirian atau ada pihak yang sengaja menimbulkan isu dan mewujudkan kelompok sedemikian lantas menangguk di air keruh demi untuk kepentingan peribadi?
Apa yang pasti, tingkah Sivakumar dan juga kelakuan pakatan campuran dalam menimbulkan kekacauan bukanlah suara keseluruhan rakyat negeri Perak yang berjumlah lebih 2 juta orang sebaliknya ia adalah untuk kepentingan politik mereka sendiri.
Sewajarnya, mengapa tidak difikirkan kelangsungan kesan terhadap individu dan masyarakat sekeliling.
Dalam menilai pelbagai perkara yang telah dilakukan atas tujuan politik, sewajarnya pandanglah ke hadapan dengan menerobos masa yang ada untuk menyelami situasi dan pemikiran generasi pewaris yang akan menerajui negara suatu hari nanti.
Fikirlah bentuk dan acuan untuk anak-anak bangsa bagi bersaing di peringkat global berlandaskan agama sebagai tiang hidup dan bersandar adat budaya teras tingkah laku.
Dalam hal ini, sesungguhnya bukan hanya kesejahteraan dan keamanan yang dititikberatkan sebaliknya jati diri dan nilai yang akan menentukan jaminan masa hadapan.
Sesungguhnya, pakatan campuran yang selama ini lantang melaungkan demokrasi enggan mengikut saluran undang-undang walaupun telah jelas kuasa majoriti yang dibentuk mereka berdasarkan perkongsian kuasa telah musnah.
Seeloknya biarlah apa yang hendak disuarakan berlandaskan kepada tataetika seorang warga bertanggungjawab apatah lagi mempunyai agama tidak kiralah sama ada yang Islam, Kristian, Buddha atau Hindu sekalipun.
Lantas, apa lagi yang akan pakatan campuran mahu lakukan di Perak sedang rakyat impikan kesejahteraan?
No comments:
Post a Comment