Berikutan suasana politik Negeri Perak berikut dipaparkan antara luahan hati rakyat (kiriman melalui e-mel) yang ingin dikongsi bersama agar keresahan dan kebimbangan berlarutan dapat ditamatkan dalam tempoh yang segera:
Rakyat Perak mahukan jaminan ekonomi disaat dunia diselubungi kegawatan ekonomi dunia, diburukkan lagi dengan pandemik selsema H1N1 termasuklah dua kes terbaru yang turut menjangkiti pelajar negara ini. Bagi setiap insan yang meneruskan kehidupan apa yang penting adalah rezeki halal yang mencukupi boleh dibawa pulang untuk dinikmati bersama keluarga masing-masing.
Fikirkanlah, jika ekonomi Perak jatuh dan pelabur serta peniaga menjauhkan akan diri mereka dari Perak, apakah nasib yang bakal melanda semua rakyat Perak? Apa akan jadi diketika itu?
Peniaga dan pelabur menjauhkan diri apabila mereka merasa tidak selamat berniaga di sini. Bagaimana keadaan tidak selamat ini boleh timbul?
Sesungguhnya, majoriti rakyat Perak tidak terbabit dengan perhimpunan haram tanpa permit, rusuhan dan tunjuk perasaan, apatah lagi, sebagai rakyat Malaysia tentunya cukup waras dan berhemah menjaga keamanan dan keharmonian negeri tumpah darah sendiri, kerana sedar dan tahu jika tidak dijaga keamanan negeri maka, ekonomi akan rebah menyembah bumi dan keselamatan diri termasuklah anak-anak akan terancam!
Sudahlah begitu, bukan setakat kampung halaman tetapi juga di sinilah rumah, tempat bekerja dan tempat anak-anak bersekolah.
Lantaran itu, setiap kali parti-parti politik PR menghadapi kemelut politik maka mereka mengheret rakyat ke jalanan. Majoriti rakyat yang diheret untuk menunjuk perasaan di jalanan bukanlah anak jati Perak. Bermula dengan tunjuk perasaan secara aman boleh berakhir dengan suatu rusuhan. Siapa boleh memberi jaminan rusuhan tidak akan terjadi lagi?
Mereka ini terdiri dari kalangan pemimpin-pemimpin PR dan penyokong-penyokong PR yang diimpot masuk ke Perak dari segenap pelusuk negara.
Jika diamati, rakyat Malaysia yang merusuh ini majoritinya adalah golongan Melayu, masyarakat Bumiputera yang diimpot masuk oleh PR ke Perak; pada hari yang sepatutnya mereka ini bekerja untuk keluarga mereka.
Rakyat Perak memang nampak jika sebilangan kecil penyokong-penyokong import ini menjadi tidak terkawal dan memulakan rusuhan akibatnya kesemua yang berarak akan terpalit sama dan kesannya kepada ekonomi dan keamanan negeri Perak tidak boleh diundurkan lagi.
Setelah berlaku kekacauan penyokong-penyokong import ini akan pulang ketempat masing-masing dan meneruskan kehidupan mereka.
Rakyat Perak yang bakal berhadapan dengan kesannya dari segenap sudut baik sosial, ekonomi mahupun politik!
Pemimpin-pemimpin PR akan berselindung disebalik pembelaan politik mereka dengan mengatakan perasaan rakyat tidak boleh dibendung lagi. Persoalannya, adakah rakyat yang menganjurkannya ataupun ahli-ahli politik ini. Siapa yang membakar semangat mereka?
Apa yang penting di sini adalah sikap dan tanggungjawab yang sebenar. Seorang pemimpin ulung tidak akan sanggup memperjudikan sosio ekonomi dan keamanan demi menjamin pegangan kuasa mereka dengan memperkudakan rakyat sebagai tunggangan mereka.
Ketahuilah bahawa rakyat Perak bukan dungu seperti yang disangka dan tidak semudah itu untuk diperkotak-katikkan. Rakyat tahu hak untuk mengundi apabila tiba masanya. Biarlah rakyat tentukan pada pilihan raya umum siapakah yang akan kami pertanggungjawabkan untuk menjadi pemimpin.
Usah jadikan rakyat seperti lembu dicucuk hidung yang sentiasa mengikut kehendak para pemimpin PR semua yang rakus untuk berkuasa.
Siapapun yang menjadi kerajaan dan siapapun yang menjadi pembangkang… fikirkanlah kebaikan seluruh rakyat negeri Perak. Perkasakan ekonomi, pertingkatkan keamanan dan kegiatan perniagaan di sini.
Tidak perlu sesiapapun “brain wash” rakyat Perak untuk mendesak bagi suatu pilihan raya seluruh negeri diadakan. Pilihan raya bukan percuma!
Duit kerajaan akan digunakan. Anggaran perbelanjaan pilihan raya setiap DUN adalah RM360,000 sekurang-kurangnya. Ada 59 DUN memerlukan sekurang-kurangnya RM21,240,000 untuk dibelanjakan. Ini tidak termasuk perbelanjaan setiap parti politik yang bertanding.
Duit ini datangnya dari rakyat. Belanjakanlah ia sebaik-baiknya untuk rakyat. Ramai rakyat yang hidup susah… mempunyai hutang tertunggak, menghadapi risiko diberhentikan kerja atau tiada lagi “overtime” akibat kegawatan ekonomi dunia. Gunakanlah duit ini sebaik-sebaiknya sebagai contoh untuk membantu anak yatim, orang kurang upaya, ibu tunggal dan tidak ketinggalan bapa tunggal.
Janganlah tuan-tuan, Dato’-Dato’, Dato’ Seri-Dato’ Seri dan Tan Sri-Tan Sri ini semua memikirkan tembolok sendiri dalam kerakusan berebut kuasa menjadi MB Perak.
Bersikaplah secara dewasa dan berfikirlah dengan matang. Apa yang lebih penting adalah langkah-langkah berkesan yang diambil oleh pemimpin-pemimpin yang telah dipilih dan berstatus Ahli Dewan Negeri Perak dalam memperkasakan ekonomi baik dari sudut makro mahupun mikro untuk rakyat Perak.
Rakyat ada mata dan masih boleh melihat. Ada telinga dan masih boleh mendengar. Dikurniakan akal fikiran dan masih waras untuk membuat keputusan.
Rakyat Perak tahu memilih dan kini gunakanlah masa untuk mula bekerja demi mengutuhkan ekonomi dan keamanan negeri ini. Rakyat akan lihat dan nilaikannya dipilihan raya umum akan datang.
Bertindaklah dengan waras sebagai seorang pemimpin yang berhemah. Jangan berselindung disebalik kata-kata “I am an Assemblyman” tetapi selepas itu bertindak bagai budak nakal menjerit, mengoyak kertas ucapan, memanjat kerusi meja dan bergaduh seperti yang berlaku dalam persidangan 7 Mei lalu.
Tidak malu!
Akhir kata kepada semua Ahli Dewan Negeri Perak, rakyat Perak mengingatkan “We are not stupid and we are watching you!”
Sunday, May 17, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment